Buang sampah merata boleh didenda hingga RM2,000 mulai 2026

Buang sampah merata boleh didenda hingga RM2,000 mulai 2026

Tular gambar di media sosial keadaan di Bukit Bintang yang dipenuhi sampah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Denda hingga RM2,000 serta hukuman tambahan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam boleh dikenakan terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam mulai 1 Januari 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penguatkuasaan lebih ketat itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pendekatan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.

“Saya memandang serius dan amat kesal terhadap laporan berhubung tahap kebersihan bandar yang masih terjejas akibat sikap segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam.

“Persoalannya, adakah ini budaya kita? Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial keadaan di beberapa lokasi tumpuan pelancong sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang dipenuhi sampah susulan sambutan Krismas.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, tindakan segelintir pihak yang membuang sampah merata-rata itu telah menjejaskan kebersihan dan imej bandar raya.

Kor Ming berkata, usaha memastikan bandar berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa tidak akan berkesan tanpa kesedaran dan kerjasama orang ramai.

“Saya ingin menegaskan kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN