KUALA TERENGGANU: Luruan monsun yang sedang berlaku dengan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung menyebabkan mengakibatkan kebanyakan kawasan di bandar raya dinaiki air.
Keadaan itu turut menyebabkan beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini ditutup ekoran air melimpah ke jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, antara jalan yang terjejas ialah Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail menghala ke Bulatan Ladang serta Jalan Kamarudin menghala ke Pengadang Akar.
“Anggota polis digerakkan ke kawasan terlibat bagi memantau keadaan dan membantu kelancaran lalu lintas.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati, patuhi papan tanda amaran banjir yg diletakkan dan jika boleh tangguhkan dahulu perjalanan ke kawasan bandar buat sementara waktu sehingga keadaan lebih selamat,” katanya.
Sementara itu, penghuni Flat Batas Baru, Saufi Mohd tidak menyangka hujan berterusan menyebabkan banjir kilat berlaku.
“Saya bernasib baik tinggal di kawasan flat cuma menghadapi kesukaran untuk keluar kerana air sudah mula melimpah di kawasan sekitar.
“Kawasan perumahan di belakang sini (Cherong Lanjut) pun sudah ada sesetengah penduduk yang mula berpindah keluar kerana air yang semakin tinggi,” ujarnya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan monsun berlaku antara semalam hingga 29 Disember ini sekali gus berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, analisis model cuaca terkini turut menunjukkan angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan sepanjang tempoh berkenaan.
“Keadaan cuaca signifikan itu berisiko menjejaskan aktiviti harian orang awam, khususnya di kawasan terdedah kepada hujan lebat berpanjangan dan perairan yang bergelora,” katanya. – UTUSAN










