MKT UMNO serahkan kepada Ahli Parlimen BN buat keputusan - Utusan Malaysia

MKT UMNO serahkan kepada Ahli Parlimen BN buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyerahkan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memuktamadkan calon Perdana Menteri yang layak diangkat mewakili parti berkenaan.

Ahli MKT, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, perjumpaan dengan Ahli Parlimen BN itu akan turut disertai Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita bersetuju untuk serah kepada Ahli Parlimen BN untuk putuskan siapa calon Perdana Menteri,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini malam ini.

Antara Ahli Parlimen BN yang dilihat hadir adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M. Saravanan (Tapah).

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Terdahulu, Annuar menerusi posting dalam Facebooknya mendakwa lebih 69 ahli Parlimen bukan BN telah setuju untuk menyokong calon daripada gabungan itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu, ia bermakna BN sudah hampir mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Sebelum jam 4 petang esok, kesemua ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan berkanun kepada Istana Negara dan menamakan calon Perdana Menteri kesembilan.

Penyerahan surat akuan itu perlu dibuat kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol (Bersara) Nazim Mohd. Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN