Penggunaan bahan aktif berlebihan jejas lapisan pelindung kulit

Penggunaan bahan aktif berlebihan jejas lapisan pelindung kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang salah faham tentang fungsi sebenar lapisan pelindung kulit atau skin barrier, sedangkan ia memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan kulit secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, lapisan pelindung kulit bukanlah lapisan kulit dalam seperti yang sering disangka, sebaliknya ia merupakan lapisan paling luar kulit yang dikenali sebagai stratum corneum.

“Lapisan ini terbentuk daripada sel-sel kulit yang naik dari bawah ke atas dan menjadi sel kulit mati. Walaupun nampak mati, ia masih aktif dari segi fungsi enzim,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, struktur pelindung kulit boleh diibaratkan seperti tembok bata yang bertindak sebagai perisai pertama kulit dalam melindungi tubuh daripada ancaman luar.

Pelindung kulit mempunyai dua fungsi utama iaitu menghalang kemasukan bakteria, pencemaran, alergen serta sinaran ultraungu (UV), selain mengekalkan kelembapan dengan menghalang kehilangan air dari dalam kulit.

“Kalau pelindung kulit rosak, bahan luar mudah masuk dan air dalam kulit pula mudah keluar. Ini menyebabkan fungsi kulit terganggu,” jelasnya.

Tanda awal

Dr. Hamidah berkata, tanda awal kerosakan pelindung kulit ialah rasa tegang selepas mencuci muka, kemerahan pada bahagian pipi dan dahi serta kulit menjadi lebih sensitif.

Selain itu, kulit yang kekal kering walaupun menggunakan pelembap, kemunculan jerawat kecil dan rasa pedih ketika memakai produk penjagaan kulit juga merupakan petunjuk awal yang sering tidak disedari.

“Ramai anggap perkara ini biasa, sedangkan itu amaran awal pelindung kulit sudah mula rosak,” katanya.

Beliau berkata, amalan pembersihan berganda yang sering diamalkan pengguna, terutama bagi menanggalkan solekan. Menurutnya, kaedah itu boleh dilakukan tetapi tidak secara berlebihan.

“Kalau terlalu kerap atau guna pencuci yang terlalu kuat serta alat pembersih, ia boleh menghilangkan minyak semula jadi kulit dan merosakkan pelindung kulit,” jelasnya.

Elak kesilapan rutin penjagaan kulit

Antara kesilapan paling kerap dilakukan ialah mencuci muka terlalu lama atau terlalu kerap, sedangkan tempoh sekitar 20 saat sudah mencukupi.

Katanya, penggunaan bahan aktif seperti AHA, BHA, retinol dan vitamin C secara berlebihan tanpa memahami kesesuaiannya juga menjadi punca utama kerosakan pelindung kulit.

“Sekarang ramai ikut trend yang ditunjukkan pempengaruh, guna banyak produk sekali gus. Ini kita panggil runtin penjagaan kulit secara berlebihan. Kulit tak mampu tampung,” katanya.

Penggunaan produk secara berlebihan termasuk menggunakan kuantiti terlalu banyak melalui penitis bukan sahaja tidak bersih, malah boleh menjejaskan keadaan kulit.

Tambahnya, amalan eksfoliasi secara berlebihan, sama ada menggunakan scrub fizikal atau bahan kimia, boleh mengikis lapisan perlindungan kulit jika dilakukan terlalu kerap.

Guna bahan aktif secara bijak

Menurut Dr. Hamidah, bahan aktif seperti vitamin C, retinol, AHA dan BHA sememangnya memberi manfaat, namun perlu digunakan secara berhati-hati.

Retinol boleh menyebabkan kemerahan dan pengelupasan pada peringkat awal, tetapi jika berlarutan, pengguna perlu menghentikan penggunaannya.

“AHA seperti glycolic acid juga perlu dikawal dari segi kepekatan kerana tidak semua kulit sesuai walaupun pada kadar rendah,” katanya.

Ujar beliau, prinsip “mula perlahan dan gunakan secara berperingkat” perlu diamalkan bagi mengelakkan kesan sampingan.

“Lebih banyak bukan bermakna lebih baik. Yang penting sesuai dan konsisten,” katanya.

Menurut beliau, ramai pengguna meniru cara penggunaan produk di media sosial termasuk menggunakan kuantiti yang terlalu banyak melalui penitis (dropper), sedangkan amalan itu bukan sahaja tidak bersih malah membebankan kulit.

“Penggunaan produk sepatutnya sederhana, mulakan dengan dua hingga tiga titik sahaja. Jangan pakai terlalu banyak dalam satu masa,” katanya.

Pengguna perlu mencuba satu produk atau satu bahan aktif pada satu masa bagi mengenal pasti kesesuaian terhadap kulit.

“Kalau pakai banyak serentak, bukan sahaja membazir, malah boleh merosakkan pelindung kulit dan tidak memberi hasil yang diharapkan,” katanya.

Hentikan bahan aktif

Mengulas mengenai rawatan, Dr. Hamidah menyarankan agar penggunaan bahan aktif seperti AHA dan BHA dihentikan sementara sekiranya pelindung kulit rosak.

Rutin penjagaan perlu kembali kepada asas iaitu pencuci muka, pelembap dan pelindung matahari, manakala eksfoliasi serta rawatan lain perlu ditangguhkan.

Beliau turut menjelaskan beberapa bahan boleh membantu proses pemulihan pelindung kulit.

Antaranya ialah ceramide yang berfungsi membina semula struktur kulit, hyaluronic acid untuk mengekalkan kelembapan, serta centella asiatica yang membantu menenangkan kulit.

Panthenol, colloidal oatmeal dan squalane juga membantu dalam proses pemulihan. Produk yang mengandungi pewangi atau bahan tambahan perlu dielakkan.

Dalam masa sama, semua jenis kulit termasuk kulit berminyak tetap memerlukan penjagaan kulit.

“Ramai ingat kulit berminyak tak perlu pelembap, itu salah. Kulit berminyak pun boleh rosak dan lebih sukar dirawat jika skin barrier terjejas,” katanya.

Pemulihan ambil masa, rawatan perlu sesuai

Tempoh pemulihan pelindung kulit biasanya mengambil masa antara empat hingga enam minggu, namun boleh menjadi lebih lama bergantung kepada tahap kerosakan.

Dalam kes tertentu seperti ekzema, proses pemulihan boleh mengambil masa berbulan-bulan.

Rawatan muka boleh membantu jika dilakukan dengan pendekatan yang menenangkan seperti hydrating facial, penggunaan hyaluronic acid, oxyfusion dan terapi LED.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN