PETALING JAYA: Pas tidak pernah mengamalkan politik autokratik atau sistem ‘mullah’, sebaliknya berasaskan syura dan tidak memberi kuasa mutlak kepada mana-mana pemimpin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebalik istilah tersebut hanyalah naratif Barat semata-mata untuk memberi gambaran negatif terhadap Islam.
Malah katanya, dalam sesebuah kepimpinan negara juga bukan bermaksud seseorang pemimpin atau ulama perlu ditaati secara mutlak seperti tuhan.
“Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan semua urusan bermasyarakat,” katanya menerusi catatan Minda Presiden di sini hari ini.
Beliau berkata, Islam turut menekankan penggunaan ilmu, akal, pengalaman dan kebijaksanaan manusia dalam pentadbiran, selain berpandukan wahyu.
Menurutnya, konsep syura atau musyawarah merupakan prinsip penting dalam Islam dan ia membezakan politik Islam daripada gambaran teokrasi sebagaimana difahami sesetengah pihak.
Abdul Hadi berkata, Rasulullah SAW sendiri bermesyuarat dengan para sahabat dalam banyak urusan dan menerima pandangan pelbagai pihak.
“Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi,” katanya.
Abdul Hadi sebelum ini berkata, Pas akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Katanya, ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.-UTUSAN










