Fahami terjemahan Al- Quran rahsia huffaz

Fahami terjemahan Al- Quran rahsia huffaz

MUHAMMAD Akmal Hadi Hissam, 16, (tengah) antara 201 orang hafiz dan hafizah yang dirai dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ketujuh baru-baru ini sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka dalam menghafaz al-Quran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya kurang tempoh setahun, usaha dan disiplin tinggi secara berterusan bagi Muhammad Akmal Hadi Hissam, 16, akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menghafaz al-Quran serta melepasi ujian Syahadah Hafazan Sughra dan Kubra.

Muhammad Akmal berkata ia menjadi detik paling manis dalam hidupnya itu kerana kejayaan itu tidak diperoleh dengan mudah dan didorong oleh istiqamah dalam bidang hafazan.

Menurutnya, selain itu kejayaan tersebut dikecapi menerusi amalan membaca dan memahami terjemahan ayat al-Quran terlebih dahulu sebelum mula menghafaz.

“Saya amalkan membaca dan memahami terjemahan Al-Quran terlebih dahulu bagi menimbulkan rasa minat untuk menghafaz.

“Tips ini juga pernah dikongsikan oleh senior yang telah berjaya sebelum saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia antara 201 orang hafiz dan hafizah yang dirai dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ketujuh baru-baru ini sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka dalam menghafaz al-Quran.

Majlis berkenaan diadakan bagi mengiktiraf usaha dan komitmen para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan, selain menjadi platform untuk menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran majlis itu turut disertai dengan pelbagai pengisian keagamaan yang bertujuan memberi motivasi serta dorongan kepada para hafiz dan hafizah agar terus mengekalkan hafazan dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.

Selain itu, majlis tersebut turut menjadi medan penghargaan kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang banyak memberi sokongan dalam memastikan kejayaan para pelajar dalam bidang tahfiz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, misi utama pusat tahfiz tersebut pada masa ini adalah melahirkan lebih 3000 hufaz setiap tahun.

“Tahun ini kita dapat lihat peningkatan hufaz yang berjaya khatam Al Quran dari tahun sebelumnya, perkara ini membuktikan sistem pembelajaran yang meletakkan target bagi setiap pelajar untuk berjaya menghafaz dalam masa setahun berkesan.

“Sistem kita asasnya adalah sasaran , dan kedua perlu fokus, dan ketiga adalah kempen. Kita pergiat kempen untuk para pelajar ada sebab utama untuk capai target” katanya.

Tambahnya, antara kempen terbesar adalah program Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL yang mampu meningkatkan lagi semangat para pelajar giat menghafaz Al Quran mencontohi para hafiz dan hafizah yang berjaya.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN