Rakyat perlu berdikari, bukan selamanya dibantu

Rakyat perlu berdikari, bukan selamanya dibantu

SIKAP bergantung kepada bantuan perlu diganti dengan usaha meningkatkan diri dan mengurus kewangan dengan bijak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berdepan realiti ekonomi yang semakin mencabar. Kos sara hidup meningkat, tekanan global semakin terasa dan rakyat mencari jalan untuk terus bertahan. Dalam situasi ini, timbul persoalan penting, adakah kita perlu terus bergantung kepada bantuan tunai atau beralih kepada pendekatan lebih mampan melalui kenaikan gaji?

Selama ini, bantuan kewangan seperti subsidi dan bantuan tunai membantu ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Namun, bantuan ini sering bersifat sementara. Ia meringankan beban tetapi tidak menyelesaikan masalah asas.

Jika terlalu lama bergantung kepada bantuan menyebabkan rakyat berisiko terperangkap dalam kitaran kebergantungan tanpa peningkatan sebenar dalam kualiti hidup.

Sebaliknya, kenaikan gaji memberi kesan yang lebih berpanjangan. Apabila pendapatan meningkat, rakyat mempunyai kuasa beli yang lebih baik dan mampu merancang kehidupan dengan lebih yakin. Pekerja juga lebih bermotivasi kerana usaha mereka dihargai. Keadaan ini bukan sahaja membantu individu, malah merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Namun, kenaikan gaji bukan penyelesaian mudah. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh mendorong kenaikan harga barang dan memberi tekanan kepada majikan. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan kenaikan gaji berjalan seiring dengan peningkatan produktiviti dan kawalan inflasi. Pendekatan ini mesti dilaksanakan secara berperingkat dan seimbang.

Dalam masa sama, bantuan tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, terutama bagi golongan rentan. Sebaliknya, kerajaan perlu menyalurkan bantuan secara lebih bersasar sambil memperkukuh peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan akses pendidikan. Tujuannya jelas, membantu rakyat berdikari, bukan sekadar bergantung.

Peranan sektor swasta juga penting. Majikan perlu menawarkan gaji yang adil dan menjaga kebajikan pekerja. Kerjasama antara kerajaan dan industri akan memastikan perubahan ini memberi manfaat kepada semua pihak.

Akhirnya, rakyat sendiri perlu berubah. Sikap bergantung kepada bantuan perlu diganti dengan usaha meningkatkan diri dan mengurus kewangan dengan bijak. Dalam dunia yang tidak menentu, kekuatan sebenar terletak pada keupayaan untuk berdikari.

Malaysia perlu mencari keseimbangan antara bantuan dan kenaikan gaji. Pendekatan yang tepat akan membina ekonomi yang lebih kukuh dan rakyat yang lebih berdaya tahan untuk menghadapi masa hadapan.-UTUSAN

RAKYAT MALAYSIA PRIHATIN
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN