SHAH ALAM: Perdana Menteri kesembilan diharap dapat mewujudkan Kerajaan Persekutuan yang inklusif dengan memastikan peranan ahli Parlimen dalam semua parti supaya episod perebutan kuasa seperti sebelum ini tidak berulang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu perlu supaya Kerajaan Persekutuan dapat memberikan tumpuan semula terhadap pelan pemulihan daripada pelbagai krisis termasuk ekonomi negara dalam pasca Covid-19.
“Pada awal kewujudan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kita lihat tidak ada masalah yang berlaku sehinggalah pada akhir-akhir hayatnya.
“Jadi secara peribadi, saya merasakan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada gabungan PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu diwujudkan adalah jawapan kepada kemelut yang berlaku,” katanya ketika sidang akhbar secara maya, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pertembungan dua penjuru melibatkan dua bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menentukan Perdana Menteri seterusnya selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.
Bagaimanapun, dipercayai Ismail Sabri dilihat lebih berpeluang apabila beliau bersama ahli Parlimen yang menyokongnya dipanggil bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin menambah, perkara pertama yang perlu dilakukan bakal Perdana Menteri adalah memanggil semua ahli Parlimen daripada semua parti untuk duduk semeja bagi mendapat kata sepakat mengenai isu yang membelenggu kesemua parti politik.
Ini kerana menurutnya, undi dengan margin perbezaan yang rendah membuatkan kedudukan Perdana Menteri itu genting dan boleh mengakibatkan insiden penggulingan Kerajaan Pusat berlaku lagi.
“Saya harap semua pemimpin daripada semua parti politik berhati terbuka untuk melakukan perbincangan ini,” katanya.










