SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan ratusan ikan mati di Sungai Penchala, Seksyen 14, Petaling Jaya, lima hari lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan berkata, pihaknya ambil maklum mengenai insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan agensi berkaitan.
“Kejadian di Sungai Penchala baru-baru ini telah diambil maklum dan disiasat lanjut oleh agensi berkaitan.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan jenayah alam sekitar dan memastikan tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya hari ini.
Menurut Amirudin, berdasarkan kronologi siasatan kejadian ikan mati di Sungai Penchala, pada 12 Ogos lalu, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berhubung kejadian ikan mati dengan jumlah yang banyak di sungai terbabit.
Jelasnya, hasil siasatan, LUAS mengesan pelepasan bahan kimia daripada sebuah kilang berhampiran Jalan Profesor Khoo Kay Kim yang menjadi punca kejadian berkenaan yang terletak kira-kira 165 meter ke Sungai Penchala.
“Pemeriksaan lanjut di premis kilang berkenaan mendapati efluen mentah dilepaskan ke longkang, setelah ujian pH merekodkan bacaan 10, pensampelan untuk analisa dilaksanakan.
“LUAS akan mengambil tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM1 juta, jika sabit kesalahan,” jelasnya.