Setitik perisa vape dadah boleh khayal lapan jam

Setitik perisa vape dadah boleh khayal lapan jam

SEORANG pengguna vape mushroom khayal dan tertidur selama lapan jam di pusat harian Komited di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hanya dengan setitik perisa vape atau rokok elektronik dadah tiruan jenis cendawan boleh menyebabkan penghisapnya menjadi khayal antara enam ke lapan jam. 

Timbalan Presiden Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Muhammad Airdil Zakaria berkata, kesannya juga menyebabkan penghisap perisa dadah tiruan itu tidak sedarkan diri sepenuhnya dalam tempoh tersebut. 

“Apabila sedar, penghisap ‘mushroom’ (cendawan) tidak sedar secara normal, mereka berjalan seperti ‘zombie’ sebagaimana dadah jenis Flakka.

“Ini realiti yang kita lihat sendiri berlaku di pusat harian Komited Malaysia di pusat bandar raya ini. Majoritinya anak muda berusia 15 tahun hingga 18 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam. 

Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan, lebih 300,000 remaja berusia 13 tahun hingga 17 tahun yang menghisap vape berdepan risiko ketagihan dadah ekoran berleluasanya penjualan perisa dadah tiruan atau eksotik yang boleh dibeli hanya dengan RM1 setitik. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan dadah dan vape dalam kalangan anak-anak perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan masa depan generasi muda, khususnya anak-anak Melayu yang dilihat paling terkesan.

Muhammad Airdil berkata, sejak Januari hingga Mei lalu, terdapat 13 rekod kedatangan penghisap vape perisa cendawan di pusat harian Komited di sini. 

“Majoritinya berusia antara 15 hingga 18 tahun. Mereka datang untuk berehat setelah khayal. Ada kes di tangan masih pegang vape dan lentok (tertidur) selama lapan jam,” katanya.

Sementara itu, penghisap vape mushroom yang hanya ingin dikenali sebagai Mat berkata, dia terjebak dengan perisa itu kerana ingin mencuba.

“Bila sekali cuba rasa seronok pula, ia khayal. Harga pun tidak mahal hanya RM1 setitik. Ramai kawan kata memang sedap perisa mushroom ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN