PETALING JAYA: Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel) memeterai kerjasama strategik dengan TNG Digital Sdn. Bhd. (TNGD) bagi membolehkan pengisian dan pembayaran bahan api dilakukan terus di pam menggunakan TNG eWallet, yang tersedia di lebih 1,000 stesen minyak Petronas di seluruh negara.
Kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu menyatukan teknologi eksklusif ‘pam dan bayar’ milik Setel dengan salah satu dompet digital paling popular di Malaysia.
Melalui integrasi ini, pengguna boleh mengisi minyak tanpa perlu meninggalkan kenderaan atau memuat turun aplikasi tambahan, sebaliknya hanya perlu menggunakan program mini ‘Petronas via Setel’ dalam aplikasi TNG eWallet.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, perkongsian itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memperluas ekosistem melalui integrasi strategik yang memberi impak kepada pengguna.
“Pengisian bahan api antara urus niaga paling kerap dilakukan. Dengan ada Setel dalam TNG eWallet, kami dapat memenuhi keperluan pengguna di mana sahaja mereka berada.
“Usaha ini selari dengan visi kami untuk menawarkan pengalaman mobiliti dan runcit yang lancar melalui inovasi digital,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, kerjasama tersebut selaras dengan usaha syarikat mengintegrasikan perkhidmatan harian yang relevan dan praktikal dalam kehidupan seharian pengguna.
“Pengisian minyak adalah rutin bagi kebanyakan rakyat Malaysia dan inisiatif ini menjadikannya lebih pantas dan mudah diakses.
“Ia juga membuka titik sentuh baharu di rangkaian stesen PETRONAS di seluruh negara.
“Kami sentiasa menyokong kerjasama yang bukan sahaja memudahkan pengalaman pengguna, malah memperluas capaian rakan kongsi kami kepada komuniti digital yang semakin berkembang,” katanya.
Sempena pelancaran itu, ganjaran istimewa bernilai RM5 dalam bentuk mata ganjaran Mesra Rewards ditawarkan bagi 50,000 transaksi pertama yang layak melalui program mini TNG eWallet.
Promosi tersebut terbuka kepada pengguna baharu Setel dan Mesra Rewards serta pengguna sedia ada yang menghubungkan ID Mesra ke akaun Setel buat kali pertama.
Selain itu, pengguna juga akan menerima mata ganjaran GOrewards TNG eWallet bagi setiap transaksi yang dilakukan melalui program mini berkenaan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Kerjasama itu menzahirkan usaha bersama Setel dan TNG Digital untuk menjadikan rutin harian rakyat Malaysia lebih mudah, pantas dan bermanfaat melalui integrasi pengisian minyak, pembayaran digital dan ganjaran dalam satu platform menyeluruh di seluruh negara.-UTUSAN










