‘Perang paling teruk’

‘Perang paling teruk’

SEBAHAGIAN daripada 24 individu termasuk 17 warga Malaysia disambut ahli keluarga masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perang antara Iran dan Israel ketika ini disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 40 tahun bagi negara Islam itu selepas kedua-dua negara terus membedil antara satu sama lain sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Rakyat Malaysia yang terperangkap, Dr. Suraiya Mohd. Ali, 72, berkata, tarikh 13 Jun lalu merupakan satu lagi detik hitam dalam hidupnya apabila terperangkap buat kali kedua dalam peperangan di negara tersebut. Katanya, peperangan itu lebih teruk berbanding ketika Iran berperang dengan Iraq dari 1980 hingga 1988.

“Ia berlaku selepas 40 tahun saya tamat pengajian dan berkahwin serta tinggal di Iran yang ketika itu sedang berperang dengan Iraq. Bila sudah ada anak yang ketika itu berusia dua tahun, saya ambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

“Setelah sekian lama, saya kembali semula ke Iran untuk menyam but Aidiladha, malangnya sekali lagi perang berlaku. Saya terperangkap buat kali kedua dalam peperangan dan kali ini lebih teruk kerana kami diarahkan keluar demi keselamatan,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam.

Dr. Suraiya dan suaminya merupakan antara 24 individu yang berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas menempuh perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer (km) untuk ke pintu sempadan Iran-Turkmenistan.

Daripada jumlah tersebut, 17 adalah rakyat Malaysia.

Seorang lagi, rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Iran, Fadhli Yusni, 33, berkata, beliau menunggu isterinya, Zainab Ganood, 27, yang terkandas di Iran kerana pulang melawat ibu bapanya.

Katanya, sejak Israel me­lancarkan serangan terhadap Iran lagi beliau sudah berusaha mencari jalan dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia.

“Tempoh 10 hari sebelum ini sangat mencemaskan untuk saya. Setiap hari saya mengikuti perkembangan melalui media dan sentiasa menunggu panggilan atau mesej daripada isteri. Saya panik kerana sukar untuk menghubunginya di sana.

“Namun, saya bersyukur ap­a­bila dimaklumkan kerajaan berjaya membawa isteri keluar dan pulang ke Malaysia. Saya amat lega,” katanya.

Dalam suasana genting yang terjadi di Asia Barat itu, seorang warga emas, Mina Shahbedini, 73, terpaksa bertahan hidup seorang diri.

Beliau berkata, keadaan ter­sebut disebabkan anak perempuan dan cucunya yang sudah berada di Malaysia.

“Sejak 10 hari yang lalu sa­ngat men­cemaskan kerana saya berada bersendirian di Iran. Ia sangat menekan tetapi sekarang setelah berada di sini, saya mahu lupakan semuanya.

“Keluarga saya berada di Malaysia, anak perempuan saya pu­lang ke Iran kira-kira tiga minggu lalu hanya untuk melawat keluarga tetapi konflik berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Iran, Khairi Omar berkata, mereka terpaksa menjalani perjalanan sangat jauh kira-kira 1,200 kilometer kerana mahu mengelak daripada melintasi kawasan konflik.

“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datangnya dari arah barat, jadi kita pilih untuk bergerak ke arah timur,” katanya.

Katanya masih terdapat sekumpulan rakyat Malaysia terkandas di Iran dan terpaksa berpindah randah bagi melin­dungi diri.

Mereka terdiri daripada ka­langan pelajar dan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Iran.

“Kita jangkakan ada seramai 12 rakyat Malaysia masih di Iran tetapi kita sentiasa pantau perkembangan mereka dan memastikan semua berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

“Kita tengok macam mana, kalau keadaan mengizinkan dan mereka sendiri memilih untuk keluar dari Iran, kita akan bantu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×