MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang diselamatkan polis selepas dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung serta kekasihnya masih menerima rawatan serta pemantauan di Hospital Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kanak-kanak tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Jelasnya, mangsa dan adik perempuannya berusia satu tahun yang sebelum ini tinggal bersama suspek kini berada di bawah penjagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan dipantau oleh doktor pakar di wad Hospital Melaka.
“Kini hak penjagaan mangsa dan adiknya berada di bawah JKM sehingga diserahkan semula kepada waris yang dikenal pasti,” katanya ketika sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan menahan ibu mangsa serta teman lelakinya selepas dipercayai terlibat dalam kes penderaan di sebuah rumah pangsa di Banda Hilir, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, maklumat awal berhubung kejadian telah diterima daripada orang awam dan pihaknya masih mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan.
“Kita tidak dapat pastikan lagi sama ada maklumat berhubung kejadian adalah daripada jiran mangsa atau bukan kerana info awal diterima dari luar Melaka dan kita masih cuba mengesannya.
“Sehingga kini kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang mana jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE