MAIS bantu 1,046 asnaf riqab masalah akidah, sosial - Utusan Malaysia

MAIS bantu 1,046 asnaf riqab masalah akidah, sosial

ABDUL Aziz Mohd. Yusof berucap ketika melancarkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab secara maya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan RM16 juta bagi menyantuni 1,046 golongan asnaf riqab yang menghadapi masalah akidah dan sosial di negeri ini.

Peruntukan itu antaranya merangkumi mereka yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan.

Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, asnaf riqab merupakan golongan yang dibelenggu masalah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan umat Islam yang terpesong agamanya.

Katanya, MAIS turut mengambil inisiatif menganjurkan satu kempen khas bagi memberi peluang kepada masyarakat mendekati golongan berkenaan.

“Kempen Bulan Pembebasan Riqab itu akan dijalankan bermula hari ini sehingga 30 September depan.

“Pelbagai program dan aktiviti yang yang dirangka antaranya ialah Webinar Riqab, LIVE Bicara Ar Riqab Bersiri, Ceramah Kesedaran Kesihatan dan Program Bimbingan Asnaf Riqab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pelancaran kempen itu disempurnakan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof secara maya menerusi Webinar Riqab sempena Hari Kemerdekaan ke-64.

Tambah Ahmad Shahir, MAIS sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di Selangor bertanggungjawab melaksanakan program kesedaran seumpama itu.

“Program melibatkan masalah sosial dan kesihatan mental itu dilaksanakan secara atas talian.

“Penganjuran kempen itu diharap dapat menyediakan ruang dan informasi kepada masyarakat supaya mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kempen itu boleh mengikuti perkembangan platform media sosial Facebook (FB) MAIS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN