SHAH ALAM: Polis belum menerima arahan lanjut daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) berhubung siasatan terhadap seorang pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, pada bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan tersebut sudah pun diserahkan, namun belum mendapat sebarang maklum balas.
“Kami masih menunggu maklum balas daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ringkas.
Kertas siasatan berhubung kes pelajar tingkatan tiga yang jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).
Pada Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan Shazeli memberitahu siasatan polis sudah pun dilengkapkan dan pihaknya menunggu arahan lanjut daripada pihak PPN.
Pada 26 Ogos lalu, seorang pelajar tingkatan tiga itu dilapor mengalami kecederaan parah akibat jatuh daripada bangunan berkenaan.
Malah, pada 30 Ogos lalu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pelajar terbabit, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil. – UTUSAN










