Askar Israel ragut nyawa sendiri pada hari perkahwinan akibat trauma perang Gaza - Utusan Malaysia

Askar Israel ragut nyawa sendiri pada hari perkahwinan akibat trauma perang Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Seorang askar simpanan Israel yang pernah terlibat dalam operasi ketenteraan di Gaza dilaporkan meragut nyawa sendiri pada Selasa tepat pada hari perkahwinannya, lapor akhbar harian Maariv.

Menurut laporan, askar berusia 31 tahun itu dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada sebelah malam, namun ditemui mati di kediamannya di bandar Rehovot, Israel tengah, selepas dipercayai mengambil nyawanya sendiri.

Pasukan ambulans yang tiba di lokasi mengesahkan kematiannya, manakala polis menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Tragedi ini menambah kebimbangan mengenai peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan anggota tentera Israel, khususnya askar simpanan, sejak Oktober 2023 apabila Israel melancarkan perang ke atas Gaza.

Pada awal Ogos lalu, sebuah jawatankuasa kecil Knesset membincangkan peningkatan mendadak kes bunuh diri askar, dengan menekankan beban psikologi yang berat akibat pertempuran di Gaza.

Tentera Israel sendiri mengakui kebanyakan kes berpunca daripada trauma dan tekanan melampau yang dialami ketika operasi di wilayah itu.

Susulan itu, pihak tentera dilaporkan menuntut perkhidmatan sokongan yang diperluaskan serta inisiatif baharu bagi mengekang krisis ini.

Menurut Pihak Berkuasa Penyiaran Israel, sekurang-kurangnya 18 askar telah membunuh diri sepanjang 2024, menggambarkan krisis dalaman serius yang melanda tentera Israel ketika perang berlarutan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN