Lupuskan kit ujian kendiri Covid-19 secara berhemah elak jangkitan - Utusan Malaysia

Lupuskan kit ujian kendiri Covid-19 secara berhemah elak jangkitan

KIT ujian Covid-19 menggunakan sampel air liur dijual di pasaran. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang awam diingatkan agar melupuskan sisa alatan Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang telah digunakan di rumah secara berhemah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan wabak berkenaan.

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dalam satu kenyataan memberitahu, selain itu, mereka juga diingatkan untuk melupuskan topeng pelitup muka dengan selamat.

Menurut kenyataan tersebut, langkah itu perlu bagi mengelak sebarang risiko jangkitan wabak kepada pekerja ketika melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.

“Kementerian Kesihatan menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memberi perakuan dan kelulusan bersyarat untuk penggunaan alatan Kit Ujian Kendiri Covid-19 bagi memudahkan pelaksanaan saringan awal oleh orang ramai.

“Berdasarkan kepada situasi penularan semasa dan kemunculan varian wabak Covid-19 yang baharu, SWM Environment meminta orang ramai melupuskan sisa alatan kit ujian kendiri tersebut secara selamat.

“Antara kaedah terbaik adalah dengan menyembur cecair nyahjangkitan sebelum dimasukkan ke dalam bungkusan dan seterusnya dibuang ke dalam tong sampah beroda (TSB),” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang awam juga diingatkan untuk turut melupuskan topeng pelitup muka secara berhemah dan selamat dengan membuangnya ke dalam tong sampah.

“Pembuangan sisa pelitup muka merata-rata boleh mendedahkan risiko jangkitan kepada pekerja pembersihan SWM Environment dan orang ramai serta menjejaskan kebersihan setempat,” tambahnya.

Sementara itu, SWM Environment melalui Kempen Jom Kerja Selamat akan terus memberi kesedaran kepada pekerjanya tentang pengendalian sisa berkaitan Covid-19 seperti sisa alatan kit ujian kendiri dan sisa pelitup muka yang dibuang ke dalam tong sampah beroda.

“Selain itu mereka juga dipastikan sentiasa dilengkapi kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas dan membersihkan diri serta melaksanakan proses nyahjangkitan kenderaan selepas selesai tugasan di lapangan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN