SHAH ALAM: Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Gangguan itu ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pukul 12 tengah hari tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan daerah Sepang akan melibatkan sebanyak 194 kawasan terjejas.
“Daerah lain yang turut terjejas bekalan adalah Petaling iaitu sebanyak 172 kawasan diikuti Hulu Langat (54).
“Daerah Putrajaya dan Kuala Langat pula masing-masing melibatkan 23 serta 20 kawasan terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan punca sebenar pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA itu belum dikenalpasti setakat ini.
Siasatan awal pensampelan bau dijalankan di kawasan Jambatan 1.5 Intake Jenderam Hulu dan Intake Sungai Semenyih mendapati tiada sebarang bau dikesan (0 Ton). Siasatan pensampelan di Sungai Semenyih dan Sungai Rinching juga didapati tiada sebarang bau.
Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.
Para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
Para pengguna turut boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.