Tisu basah tidak reput lebih lima minggu

Tisu basah tidak reput lebih lima minggu

GUMPALAN tisu basah yang tersumbat di saluran pembentung. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARDIFF: Kajian terbaharu Universiti Cardiff mendapati tisu basah yang dipasarkan sebagai biodegradasi atau mesra alam tidak mudah terurai, malah boleh kekal dalam sistem air dan sungai melebihi lima minggu.

Kajian itu menunjukkan tisu basah boleh menyumbang kepada pembentukan gumpalan ‘lemak’ gergasi yang menyumbat sistem pembetungan.

Menurut penyelidik, pembungkusan dan iklan produk tisu basah sering menggunakan istilah seperti biodegradasi, berasaskan tumbuhan dan bebas plastik, sekali gus memberi gambaran ia selamat dibuang ke dalam tandas.

Namun, perbuatan itu boleh menyebabkan penyumbatan di pembetung, seterusnya membentuk ketulan lemak dan sisa besar yang mengambil masa berbulan-bulan untuk dibersihkan.

“Buat pertama kali, kami menganalisis tisu basah secara langsung di sungai dan anak sungai tempat ia berakhir apabila dibuang ke tandas.

“Ketahanan tisu basah yang dipasarkan sebagai biodegradasi ini mencabar kredibiliti dakwaan pemasaran mereka,” kata penulis kajian, Dr. Thomas Allison.

Pasukan penyelidik menguji dua jenama tisu basah berasaskan selulosa di 10 sungai dan anak sungai bandar sekitar Cardiff selama lima minggu.

Mereka mengukur tahap kekuatan regangan sebagai penunjuk kadar pereputan, selain merekod faktor persekitaran seperti kimia air, suhu, perubahan paras sungai dan aktiviti mikroorganisma.

Hasil kajian menunjukkan serpihan tisu basah masih kekal melebihi lima minggu walaupun ada tanda pereputan awal. Tisu yang mengandungi lebih banyak selulosa semula jadi terurai lebih pantas berbanding tisu berasaskan selulosa terjana semula, iaitu gentian buatan manusia, dengan kadar pereputan masing-masing 6.7 peratus dan 3.1 peratus sehari.

Penyelidik berkata, tisu basah sering dilepaskan ke alam sekitar melalui sistem limpahan ribut ketika hujan lebat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN