BANGKOK: Pusat pelancongan di Hat Yai memerlukan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan untuk dipulihkan sepenuhnya, dengan pasaran sumber utama pelancong dari Malaysia dijangka menyusut sehingga 55 peratus pada Disember.
Menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), jumlah tersebut menyebabkan penurunan keseluruhan sebanyak 11 peratus bagi tahun ini.
Gabenor TAT, Thapanee Kiatphaibool berkata, ketibaan pelancong Malaysia pada Disember dianggarkan sekitar 205,000 orang, susut 55 peratus tahun ke tahun dengan janaan pendapatan sekitar 4.4 bilion baht (RM571.6 juta), turun 54 peratus.
Beliau berkata, banjir besar di Hat Yai menjadi faktor utama penyusutan pasaran Malaysia tahun ini, menyebabkan TAT menurunkan unjuran ketibaan kepada 4.38 juta orang, iaitu penurunan 11 peratus berbanding tahun lalu.
Banjir di beberapa wilayah selatan Thailand dijangka mengurangkan jumlah pelawat asing sekitar lapan peratus kepada 32.8 juta ketibaan tahun ini, dengan hasil sebanyak 1.52 trilion baht (RM197.48 bilion), turun lima peratus tahun ke tahun.
Menurut Thapanee, banjir besar turut memusnahkan Pasar Kim Yong di Hat Yai yang menjadi zon ekonomi utama wilayah Songkhla.
Justeru, usaha pemulihan segera diperlukan, khususnya berkaitan kesihatan awam dan pengurusan sisa, berikutan kebimbangan penduduk tempatan terhadap kesan jangka panjang dan pengendalian krisis.
“Ketibaan pelancong asing pada Disember diunjurkan mencecah 3.2 juta orang.
“Pemindahan acara besar seperti Sukan SEA ke Bangkok serta pelarasan aktiviti pelancongan berpotensi menjejaskan imej wilayah itu dan keyakinan pelancong,” katanya.
PELANCONGAN MERUDUM
Tempahan awal tiket penerbangan pada November dilaporkan menurun tiga peratus tahun ke tahun.
Namun lima pasaran mencatat pertumbuhan, iaitu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 13 peratus, Israel (11 peratus), United Kingdom (sembilan peratus), serta Russia dan Itali masing-masing lapan peratus.
Menurut TAT, pasaran Jerman menguasai tempahan tempat duduk penerbangan tertinggi pada 9.1 peratus, diikuti UK (tujuh peratus), Korea Selatan (6.6 peratus), AS (6.4 peratus) dan Russia (enam peratus).
Bulan ini, Thailand menerima 56 penerbangan masuk baharu, termasuk 12 laluan jarak jauh dan 12 laluan jarak dekat.
Satu lagi faktor kritikal yang mempengaruhi ketibaan pelancong antarabangsa pada bulan terakhir tahun ini ialah pengukuhan nilai baht, yang meletakkan Thailand pada kedudukan kurang kompetitif berbanding destinasi lain.
“Turun naik mata wang banyak mempengaruhi perancangan perbelanjaan dan pilihan destinasi,” kata Thapanee.
Bagi pasaran domestik pada Disember, jumlah perjalanan tempatan dijangka mencecah 19 juta, turun satu peratus, dengan hasil susut dua peratus kepada 109 bilion baht (RM14.2 bilion).
Bangkok diramal mencatat hasil tertinggi bagi tempoh itu sebanyak 25 bilion baht, turun 4.5 peratus, manakala wilayah selatan masih terjejas akibat banjir, menyebabkan hasil menurun 1.6 peratus kepada 17.6 bilion baht (RM2.3 bilion).
Walaupun beberapa wilayah mungkin menerima lebih ramai pelancong domestik, semua wilayah dijangka mencatat hasil lebih rendah tahun ke tahun.
Ia berikutan perbelanjaan yang berhati-hati, persaingan tinggi daripada pelancongan ke luar negara serta kesan banjir di selatan, menurut agensi itu.
Sektor pelancongan Hat Yai, Songkhla dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM2.58 bilion berikutan banjir besar selama enam hari yang melanda bandar itu bermula 22 November lalu.
Lebih 700 rakyat Malaysia terkandas ketika bencana tersebut berlaku, malah ramai yang turut mengalami kerugian besar terutama apabila kenderaan mereka yang tenggelam tidak mempunyai perlindungan tambahan terhadap bencana alam.










