LONDON: Polis United Kingdom memberi amaran akan menangkap individu yang memegang sepanduk atau melaungkan slogan ‘mengglobalkan intifada’ dengan alasan risiko keselamatan susulan beberapa serangan terhadap masyarakat Yahudi.
Polis Metropolitan London dan Polis Greater Manchester dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil susulan insiden tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Australia, pada Ahad lalu.
Kedua-dua pasukan polis itu turut merujuk kepada serangan pisau di Sinagog Jemaah Ibrani Heaton Park di Manchester, utara England, pada 2 Oktober, di mana dua orang terbunuh.
“Insiden keganasan berlaku dan konteks kini berubah, kata-kata membawa makna serta kesan.
“Kami tahu masyarakat bimbang tentang sepanduk dan sorakan seperti ‘mengglobalkan intifada’, dan mereka yang menggunakannya pada protes masa depan atau dengan cara yang disasarkan harus boleh dikenakan tindakan” katanya.
Pegawai barisan hadapan akan diberi taklimat mengenai apa yang disifatkan polis sebagai ‘pendekatan yang dipertingkatkan’, dengan kuasa di bawah Akta Ketenteraman Awam akan digunakan, termasuk mengenakan syarat keselamatan di sekitar rumah ibadat Yahudi di London semasa upacara keagamaan.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, kerajaannya meningkatkan peruntukan dana bagi komuniti Yahudi.
Istilah ‘intifada’, yang bermaksud kebangkitan, mula digunakan secara meluas semasa kebangkitan rakyat Palestin menentang pendudukan Israel pada 1987.










