Lima individu direman bantu siasatan kes rasuah - Utusan Malaysia

Lima individu direman bantu siasatan kes rasuah

LIMA individu yang ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah dibawa ke Mahkamah Majistret, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lima individu termasuk dua penolong pegawai tanah direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes rasuah melibatkan beberapa pegawai dan kakitangan di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah dalam negeri ini.

Perintah tahanan reman hingga 6 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Wan Nor Fadzillah Wan Ibrahim di Mahkamah Majistret 1 di sini hari ini.

Menurut sumber, kesemua mereka yang berusia antara 48 hingga 57 tahun itu direman selepas ditahan dalam beberapa siri tangkapan dilakukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada 2019 dan 2020 dengan pegawai serta kakitangan terlibat disyaki menerima rasuah sebagai balasan untuk mendaftarkan 41 nama pemilik lain ke dalam hak milik tanah di daerah berkenaan, tanpa melalui urusan pindah milik tanah yang sah.

“Dua penolong pegawai tanah berusia 48 tahun ditahan di Langkawi dan di sini manakala seorang pembantu tadbir ditahan di Pendang serta seorang perempuan iaitu bekas kerani di pejabat tanah terlibat pula ditahan di pejabat SPRM di sini.

“Sementara itu, seorang individu awam yang bekerja sendiri ditahan di Pendang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut sumber itu, SPRM juga masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam sindiket terbabit.

“Dalam masa sama, beberapa dokumen penting berkaitan kes ini turut sedang dikesan,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit namun enggan mengulas mengenainya.

“Pihak kami sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN