Hizbollah mengganas, bunuh 203 penduduk di Lubnan - Utusan Malaysia

Hizbollah mengganas, bunuh 203 penduduk di Lubnan

SEBUAH kawah terbentuk akibat serangan Israel di Beirut, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan disokong Iran, Hizbollah, pada Khamis mengaku melepaskan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap ‘pelanggaran’ gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Tindakan itu berlaku sehari selepas kumpulan itu menyatakan mereka mempunyai ‘hak’ untuk bertindak balas terhadap gelombang serangan maut ke seluruh Lubnan.

Lubnan mengisytiharkan hari berkabung nasional  pada hari Khamis selepas serangan Israel membedil negara itu, mengorbankan 203 orang dan lebih 1,000 lagi cedera menimbulkan persoalan terhadap gencatan senjata antara AS dan Iran.

“(Ia) sebagai tindak balas terhadap pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh musuh,” kata Hizbollah dalam kenyataan semalam.

Hizbollah menyasarkan sebuah komuniti tempatan Israel di Manara berhampiran sempadan dengan Lubnan menerusi serangan roket pada awal Khamis.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran serangan maut Israel ke atas Lubnan menimbulkan ‘risiko serius’ terhadap gencatan senjata rapuh antara AS dan Iran.

“Aktiviti ketenteraan yang berterusan di Lubnan menimbulkan risiko besar kepada gencatan senjata dan usaha ke arah keamanan yang berkekalan serta menyeluruh di rantau itu.

“Setiausaha agung mengulangi seruannya kepada semua pihak untuk segera menghentikan permusuhan,” kata jurucakap Guterres, Stephanie Dujarric.

Walaupun Iran dan AS bersetuju gencatan senjata dua minggu lewat Selasa, Israel menegaskan Lubnan tidak termasuk dalam perjanjian tersebut.

Hizbollah membalas dengan menembak roket ke arah Israel, manakala Pengerusi Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, dilihat membuat kenyataan yang seolah-olah mengancam gencatan senjata.

“Setiausaha Agung PBB mengecam sekeras-kerasnya kehilangan nyawa orang awam dan amat bimbang dengan peningkatan jumlah kematian dalam kalangan rakyat.

“Tiada penyelesaian ketenteraan bagi konflik ini. Setiausaha Agung terus menyeru semua pihak menggunakan saluran diplomatik,” kata jurucakap PBB.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) sebelum ini mengecam ‘skala pembunuhan dan kemusnahan di Lubnan’ sebagai amat mengerikan.

“Pemusnahan sebegini, hanya beberapa jam selepas persetujuan gencatan senjata dengan Iran, sukar dipercayai,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN