GEORGE TOWN: Pelancong dijangka beralih kepada destinasi alternatif seperti negara Eropah, China dan Australia susulan konflik di Asia Barat sekali gus tidak menjejaskan sasaran jualan RM30 juta sempena penganjuran MATTA Fair 2026 di Pulau Pinang.
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pulau Pinang, Carolyn Leong berkata, sasaran itu menunjukkan peningkatan RM5 juta berbanding RM25 juta dicatatkan pada edisi tahun lalu didorong permintaan stabil terhadap pakej pelancongan antarabangsa dan domestik.
Katanya, sasaran berkenaan realistik menerusi peningkatan penyertaan dan sokongan daripada pelbagai pihak industri pelancongan termasuk syarikat penerbangan.
“Kami yakin situasi di Asia Barat (konflik) tidak menjejaskan sasaran jualan secara keseluruhan. Sekiranya destinasi Asia Barat kurang mendapat sambutan maka pelancong boleh beralih ke destinasi lain,” katanya pada sidang akhbar, penganjuran MATTA Fair Pulau Pinang, semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
MATTA Fair Pulau Pinang pada tahun ini akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 25 hingga 26 April ini di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC).
Carolyn dalam pada itu menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran acara berkenaan menerusi promosi agresif yang dijalankan.-UTUSAN.










