PETALING JAYA: Lencongan trafik dilaksanakan di 88 lokasi di sekitar ibu negara bermula pukul 9 pagi esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lencongan jalan dibuat susulan maklumat berhubung terdapat rancangan pihak-pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan.
Kata beliau, polis ingin menasihatkan kepada seluruh warga kota Kuala Lumpur terutama kepada pengguna-pengguna jalan raya agar mengelakkan dari menggunakan jalan-jalan yang terlibat.
“Selain itu, sila patuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan keadaan lalu lintas sentiasa lancar dan terkawal.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT, Kuala Lumpur di talian 03-20260267atau mana- mana balai Polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek (termasuk kawasan sekitar dalam radius satu kilometer) serta perhimpunan di Dataran Merdeka yang dijangka berlangsung esok.
Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semua pihak yang merancang untuk mengadakan perarakan termasuk perhimpunan diberi amaran untuk tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perarakan atau perhimpunan tersebut.
Katanya, polis menerima maklumat pihak tertentu mengambil peluang mengadakan perhimpunan dan perarakan pada masa ini yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun mendakwa sudah membuat permohonan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kuala Lumpur masih berada dalam tempoh PPN Fasa 1 berkuat kuasa bermula 29 Jun lalu. Pada hari ini, sebanyak 1,676 kes baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur direkodkan dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) pada kadar 0.95.
“Justeru, polis mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP PPN bagi mengelak diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19.
“Polis juga amat berharap masyarakat memahami bahawa faktor keselamatan kesihatan pada ketika ini tidak menentu dan memungkinkan jangkitan berganda pada tahap luar biasa jika mereka tidak mematuhi SOP PPN,” katanya. – UTUSAN ONLINE