BATU GAJAH: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang setelah terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Malim Nawar Batu, Jalan Tanjung Tualang, di sini kelmarin, ditemukan lemas semalam.
Mayat Tham Yoke, 88, ditemukan orang awam pada pukul 6.36 petang di Kampung Teluk Memali, Kampung Gajah kira-kira 25 kilometer dari tempat dia dilaporkan jatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd. Norshah Shahri berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 11.22 pagi dengan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya jentera di lokasi, anak mangsa memaklumkan kejadian melibatkan bapanya.
“Komander Operasi mengarahkan pasukan keluaran operasi bersama aset logistik marin bot BBP Batu Gajah dan BBP Kampar membuat pencarian ‘water surface’ dalam radius lapan kilometer sehingga semalam.
“Operasi mencari lelaki itu dibantu anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh dan Unit K9 sebelum mangsa dijumpai terapung di Kampung Teluk Memali oleh orang awam pada jarak 25 kilometer dari tempat dia terjatuh,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










