PETALING JAYA: Lagi kes ‘diugut’ jatuh talak jika ambil vaksin.
Demikian perkongsian Public Health Malaysia, sebuah platform untuk menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam dalam laman Facebook hari ini.
“Allahu. Semalam baru kami share (kongsi) status seorang peguam syarie tentang isu talak.
“Rupanya banyak lagi kes sebegini. Rasanya kita perlu lakukan sesuatu bagi melindungi wanita dan isteri. Kasihan si isteri,” tulisnya.
Public Health Malaysia menulis: “Bagaimana nanti jika hendak menunaikan haji atau umrah? Bakal haji dan tetamu Allah perlu menerima pelbagai jenis vaksin. Adakah hendak dijatuhkan talak sebelum menunaikan ibadah? Minta dijauhkan dari kes sebegini”.
Semalam Public Health Malaysia menarik perhatian umum mengenai perkongsian seorang peguam syarie di Twitter.
Peguam tersebut berkongsikan kisah mengenai seorang isteri yang telah mengambil dos pertama vaksin Covid-19 secara ‘senyap-senyap’.
Ini kerana suaminya tak mahu mengambil vaksin berkenaan dan kebetulan mereka merupakan pasangan jarak jauh.
Namun si isteri dalam dilema apabila ketika berborak dengan suaminya mengenai vaksin, si suami berkata jangan ambil vaksin.
Si suami pula menambah: “Jika ambil juga, jatuh talak”.
Perkongsian itu turut dikongsi pelakon Fizo Omar yang menulis: “Kalau betul wujudnya si suami macam ini kan. Abe Joe tak boleh sentuh hukum ni, tapi sebagai lelaki, awak salah guna kuasa sebagai seorang suami”.
Menurut Fizo, jika benar sekalipun si suami anti vaksin, sepatutnya tidak sampai sehingga menjatuhkan talak.
“Vaksin ini memang bukan paksaan dan hak individu itu sendiri, tapi saya pernah tanyakan pada ustaz dan jabatan agama, sekiranya kita tidak ambil dan keputusan kita itu boleh membahayakan dan memudaratkan orang lain, hukumnya haram di sisi agama.
“Itu apa yang saya diberitahu. Lagipun, pihak agama, kesihatan di negara kita dan seluruh dunia sudah pun iktiraf dan sahkan vaksin ni halal dan harus diambil,” katanya.
Fizo menambah, persoalannya kenapa masih wujud lagi isu anti vaksin ini.
“Kalau masih ingat, sejak kita lahir, berapa jenis vaksin sudah disuntik dalam badan, alhamdulillah sampai sekarang Allah masih bagi nikmat kehidupan sihat.
“Allah suka melihat hambaNya ikhtiar dan berusaha untuk menempuhi dugaan yang dihantar kepada kita semua,” katanya.










