PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Koroner tidak mempunyai bidang kuasa memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Tommy berhujah, kuasa majistret hanya terhad kepada tindakan menghina mahkamah yang berlaku di hadapannya (contempt in the face of the court).
Hujah beliau, wujud perbezaan bidang kuasa yang ketara di antara perbicaraan di mahkamah dan inkues yang dikendalikan oleh majistret yang mana prosiding inkues tidak termasuk dalam definisi perbicaraan.
Hujah Ambiga, bidang kuasa itu hanya diberikan kepada hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Sehubungan itu, Ambiga menghujahkan, koroner tidak mempunyai kuasa yang khusus untuk mengeluarkan perintah komital atas dakwaan menghina mahkamah terhadap Tommy berdasarkan afidavit dan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Hujahnya lagi, jika bidang kuasa koroner wujud sekali pun, ia terhad kepada tindakan menghina di hadapan mahkamah itu sendiri dan berlaku secara segera.
Oleh yang demikian, hujah beliau, tidak mungkin tindakan menghina mahkamah boleh diambil terhadap pihak yang mengeluarkan afidavit atau kenyataan media kerana ia tidak berlaku di hadapan mahkamah.
Mahkamah sedang mendengar rayuan silang yang dikemukakan oleh pendakwa raya sama ada Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan prosiding komital terhadap Tommy.
Hakim Datuk Suraya Othman yang mengetuai panel tiga hakim bersidang menetapkan rayuan silang itu didengar dan diputuskan terlebih dahulu sebelum mendengar rayuan Mohd. Kassim Abdul Hamid iaitu bapa Allahyarham Muhammad Adib.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Hashim Hamzah bagaimanapun menangguhkan rayuan selepas wujud masalah teknikal berkaitan sambungan internet ketika peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang ketika itu berada di pejabatnya, memulakan hujah mewakili Mohd. Kassim.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini bagi pengurusan kes untuk membolehkan pihak-pihak menyelesaikan isu berkaitan komunikasi dalam talian sebelum rayuan itu didengar kelak.
Hari ini juga ditetapkan pendengaran rayuan Mohd. Kassim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner membenarkannya memulakan prosiding komital terhadap Tommy atas dakwaan menghina mahkamah.
Dalam permohonan komital, Mohd Kassim, 67, mendakwa Tommy membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara akibat kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – UTUSAN ONLINE











