PUTRAJAYA: Skim tanah rancangan persekutuan terakhir di Gugusan Jengka, Pahang, Felda Jengka 25 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai lusa.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti terletak di Daerah Temerloh itu muncul satu-satunya di Semenanjung yang diwartakan PKPD.
Penempatan dihuni 152 keluarga peneroka sejak 1986 seluas 214 hektar itu berpunca akibat Kluster Lorong Baiduri yang dilaporkan sejak 16 Julai dengan kini merekodkan 27 kes positif.
Kes pertama melibatkan seorang penduduk tempatan yang bekerja di Bandar Tun Razak, Daerah Maran sebelum merebak ke Felda Jengka 2, Felda Jengka 11 dan Kampung Baru Chenor.
Menurut Hishammuddin, baki sejumlah 11 lokaliti dilaksanakan PKPD sehingga 25 Ogos ini, terletak di Sabah dengan tiga di Daerah Kota Kinabalu iaitu kuarters kilang J&L, Kampung Gudon dan Kampung Lobou.
“Selebihnya ialah Kampung Menunggul; Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut; Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang; Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou, Ranau; Kampung Batu 1, Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau dan Kampung Batu-Batu, Tenom,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu ujar Hishammuddin, enam lokaliti di negeri tersebut yang dikenakan PKPD sejak 29 Julai dan disambung sehingga 25 Ogos yang terletak di Daerah Kota Kinabalu iaitu Bandar Sierra, Kampung Kalasanan, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.
Dua lagi lokaliti yang juga dilanjutkan PKPD hingga tarikh sama ujarnya ialah Felda Kenanga Jengka 7, Daerah Maran, Pahang dan Ladang Kerilla, Jajahan Tanah Merah, Kelantan.
Namun, 23 lokaliti ditamatkan PKPD esok seperti dijadualkan antaranya Kampung Pertanian dan Separa, Kulai serta asrama pekerja tapak bina Taman Bukit Perdana, Kluang, Johor.
Selebihnya di Sabah dengan lapan lokaliti di Daerah Penampang iaitu Kampung Nabangkung, Kampung Ramayah, Kampung Tuunon, Kampung Sarapung Kolopia, Cyber City Fasa 1, Vista Minitod, Taman Vista Kiranau serta Country Height Fasa 1, 2 dan 3.
Di Daerah Kota Kinabalu pula membabitkan lima lokaliti iaitu Plaza Kingfisher Polytechnic Commercial Centre, Kampung Unggun, Kampung Tebobon serta Lorong Cina 1, 2 dan 3; empat lokaliti Daerah Beaufort iaitu Kampung Kebulu Petani, Kampung Lumadan, Kampung Beaufort Selatan dan Taman Arjuna.
Tiga lokaliti dalam Daerah Tawau iaitu Kampung Blok 11, Kampung Tanjung Batu Darat dan Kampung Darat Inderasabah serta satu di Kinabatangan iaitu Perumahan Ladang Tinabau. – UTUSAN ONLINE