KULAI: Projek penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya baharu di seluruh negara dijangka akan mengalami kelewatan susulan kenaikan harga diesel global yang memberi kesan besar kepada projek-projek berkaitan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, kebanyakan kenderaan dan mesin yang digunakan bagi pelaksanaan projek itu menggunakan bahan bakar berkenaan.
“Memang berlaku kenaikan kos pembinaan, khususnya bagi sektor seperti pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya yang banyak menggunakan jentera bahan bakar diesel.
“Ada juga cadangan diterima untuk membenarkan syarikat kontraktor menggunakan separuh jentera daripada jumlah sedia ada kerana harga diesel.
“Bagaimanapun, buat masa ini tiada kebenaran rasmi diberi untuk menghentikan atau menambah tempoh masa pembinaan. Permohonan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca kabinet, Rabu ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Kerja Raya Daerah Kulai hari ini.
Tambah Ahmad, pelaksanaan projek-projek pembinaan infrastruktur lain seperti pembinaan bangunan boleh diteruskan seperti sedia ada menggunakan bahan binaan yang telah ditempatkan di tapak pembinaan, sejak sebelum kenaikan harga berlaku.
“Setakat ini JKR terlibat melaksanakan 2,607 projek pembinaan infrastruktur melibatkan 28 kementerian berbeza di seluruh negara, dengan sejumlah 855 projek sedang dilaksanakan.
“Kami jangka lebih sepertiga daripadanya akan mengalami kelewatan akibat kenaikan harga diesel dan bahan binaan.
“Walaupun begitu, kami sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Perangkaan untuk mendapatkan data sebenar kenaikan harga,” katanya lanjut. – UTUSAN










