GEORGETOWN: Kes harian positif Covid-19 di Pulau Pinang dijangka meningkat dalam minggu ini berikutan Jabatan Kesihatan negeri (JNKPP) akan menggunakan keputusan ujian saringan Covid-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) sebagai laporan statistik bilangan kes wabak itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kadar kes positif Covid-19 di negeri ini adalah sekitar 11 peratus dan JKNPP hanya akan kembali menggunakan protokol Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) selepas kadar kes menurun kepada kurang 10 peratus.
“Kita jangkakan bilangan kes akan bertambah memandangkan keputusan saringan RTK-Antigen akan digunakan mulai minggu ini,” katanya selepas meninjau program Penang Saring Covid-19 di Flat Taman Manggis, di sini hari ini.
Sejak tiga minggu lalu, Pulau Pinang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dan semalam kes postif di negeri ini mencecah lebih 1,000 kes.
Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan, bekalan vaksin Pfizer di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan dijadualkan semula ekoran kelewatan bekalan vaksin berkenaan di peringkat antarabangsa.
“Perkara ini adalah fenomena sementara sehingga bekalan vaksin Pfizer kembali berjalan lancar di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, golongan ibu hamil, ibu menyusu dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang belum mendaftar suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera dibenarkan untuk ‘walk-in’ di beberapa PPV tertentu dalam tempoh terdekat.
”Kerajaan negeri akan mengumumkan PPV terlibat dan tarikh dalam masa terdekat bagi membolehkan ketiga-tiga golongan itu mendapatkan suntikan vaksin.
“Usaha kerajaan negeri ini dilaksanakan untuk mencapai imuniti kelompok dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE