Cadangan sambungan jajaran LRT Mutiara disokong

Cadangan sambungan jajaran LRT Mutiara disokong

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) bersama Anthony Loke Siew Fook (dua dari kiri) menyaksikan majlis penyerahan replika kunci yang diadakan sebagai simbolik penyerahan pada Majlis Penyerahan Tapak Pesta Sungai Nibong di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak 99 peratus responden menyatakan sokongan terhadap cadangan sambungan jajaran Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dari Komtar hingga ke Penang Sentral.

Situasi itu sekali gus mencerminkan penerimaan amat positif rakyat terhadap pembangunan sistem pengangkutan awam berimpak tinggi itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini lebih 16,000 maklum balas telah diterima daripada orang awam menerusi sesi pemeriksaan awam yang sedang dijalankan di beberapa lokasi strategik di negeri ini.

Menurut beliau, sokongan padu tersebut menjadi pemangkin kepada kerajaan Persekutuan untuk terus mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan demi manfaat jangka panjang rakyat Pulau Pinang.

“Ini menunjukkan bahawa projek Laluan Mutiara bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya, ia benar-benar mendapat sokongan rakyat dan diyakini mampu menyelesaikan isu kesesakan trafik di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Pesta Sungai Nibong antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan MRT Corp di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, proses pengambilan tanah bagi projek tersebut kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat iaitu melibatkan beberapa jajaran utama.

“Bagi Segmen 1 yang merangkumi laluan Permatang Damar Laut hingga ke Macallum, sebanyak 61 lot tanah hak milik persendirian telah selesai melalui proses pendengaran di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Setakat ini juga, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 41 Borang H manakala MRT Corp pula telah menyelesaikan bayaran pampasan bagi 39 lot tanah yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama, sebanyak 14 Borang K juga telah dikeluarkan oleh JKPTG Pulau Pinang bagi tujuan serahan tapak kepada kontraktor dengan keseluruhan proses bagi segmen tersebut dijangka selesai menjelang Jun 2026.

“Bagi Segmen 2 pula yang melibatkan jajaran dari Macallum ke Penang Sentral, sebanyak 38 lot tanah persendirian telah dikenal pasti untuk proses pengambilan.

“Pewartaan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 dijangka dilaksanakan pada Julai 2026 sebelum kerja-kerja kemasukan tapak dapat dimulakan sekitar tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata, Tapak Pesta Sungai Nibong telah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai untuk pembangunan depoh tambahan selepas melalui proses penilaian terperinci oleh MRT Corp. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN