Zelensky gesa sekatan minyak Russia dikenakan semula selepas gencatan senjata Iran

Zelensky gesa sekatan minyak Russia dikenakan semula selepas gencatan senjata Iran

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau mahu sekatan tenaga ke atas Russia dikenakan semula susulan perjanjian gencatan senjata AS–Iran yang dijangka membuka semula Selat Hormuz, laluan penting kepada bekalan tenaga global.

Amerika Syarikat melonggarkan beberapa sekatan minyak ke atas Russia bulan lalu bagi menangani kenaikan kos tenaga akibat perang di Asia Barat.

Kyiv dan sekutunya memberi amaran langkah itu boleh membantu membiayai perang Moscow terhadap Ukraine.

“Kini gencatan senjata bermula di Asia Barat dan Teluk. Dan saya menunggu sekatan ke atas minyak Russia dikenakan semula sepenuhnya, seperti sebelum ini,” kata Zelensky dalam kenyataan kepada wartawan.

Pengecualian yang diberikan AS membolehkan negara membeli minyak Russia yang sudah berada di laut sehingga 11 April.

Kremlin menyambut baik keputusan itu dengan menggesa AS supaya melangkah lebih jauh.

Kenaikan harga minyak global sejak bermulanya perang di Asia Barat turut membantu menambah semula hasil Russia, yang terjejas akibat lebih empat tahun peperangan dengan Ukraine dan sekatan antarabangsa.

Zelensky turut mendedahkan rakan sekutu Ukraine telah meminta Kyiv menghentikan serangan jarak jauh ke atas kemudahan minyak Russia susulan kenaikan harga yang berkait dengan perang Iran.

“Saya tidak akan menyatakan siapa yang meminta perkara ini. Tetapi rakan sekutu memang memintanya dan itu fakta. Mereka meminta di pelbagai peringkat, dari kepimpinan politik hingga ketenteraan,” katanya.

Ukraine  meningkatkan serangan balas terhadap infrastruktur Russia termasuk kilang penapisan, depot minyak dan pelabuhan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan serangan berulang ke atas pelabuhan utama Baltik seperti Ust-Luga dan Primorsk.

Kedua-dua Ukraine dan Russia saling menyasarkan kemudahan tenaga sejak Moscow melancarkan pencerobohan pada Februari 2022, mencetuskan perang paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata sempena sambutan Easter Ortodoks, dengan penghentian pertempuran selama 32 jam, satu langkah yang jarang berlaku.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN