PUTRAJAYA: Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) membuat laporan menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berhubung transaksi sejumlah wang melibatkan seorang bekas menteri.
Ketua Biro Politik SekPur, Shahbudin Embon berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan dokumen daripada sebuah portal dalam talian yang memaparkan butiran transaksi berkenaan.
Menurutnya, pihaknya telah membuat laporan polis dua hari lepas dan turut menyerahkan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
“Motif kami adalah untuk mempertahankan kerajaan semasa. Perkara ini boleh memberi kesan kepada negara sekiranya tiada siasatan yang sewajarnya dijalankan kerana orang ramai masih tertanya-tanya sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.
Tegasnya, laporan itu bukan bersifat peribadi terhadap mana-mana individu, sebaliknya dibuat bagi memastikan dakwaan yang tular dalam kalangan masyarakat dapat disiasat secara telus oleh pihak berkuasa.
Katanya lagi, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai selain memastikan sebarang dakwaan dapat ditentukan kesahihannya melalui siasatan rasmi.
Sebelum ini, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan beliau menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat itu pada 2023.
Menurut beliau, dakwaan yang disiarkan sebuah blog tidak dikenali itu hanyalah tuduhan liar selain garis masa yang dinyatakan juga tidak selari dengan keadaan sebenar ketika itu.
Beliau turut menegaskan tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau mana-mana wakil NexG sepanjang hidupnya, selain tidak mengenali individu yang didakwa sebagai ‘watak utama’ dalam penulisan blog berkenaan, iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn. Bhd. – UTUSAN










