ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan membawa usul meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, usul tersebut akan dibawa dalam sesi pembentangan Belanjawan 2022, November ini.
Menurutnya, Undang-Undang Tubuh Negeri ketika ini menetapkan seseorang itu hanya layak menjadi calon pilihan raya ketika berusia 21 tahun.
“Selain itu kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menambah bilangan ahli jemaah solat Jumaat.
“Kita menerima banyak permohonan berkaitan perkara itu termasuk dari Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Muhammad Sanusi dalam pada itu memaklumkan kerajaan negeri turut mengambil maklum titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang menzahirkan dukacita terhadap peningkatan angka jangkitan pandemik Covid-19.
Justeru, katanya, kerajaan negeri mengharapkan tindakan segera daripada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan bekalan vaksin sebanyak 226,000 dos seminggu seperti dijanjikan sebelum ini.
“Dalam masa sama kadar vaksinasi di Langkawi hampir mencapai sasaran untuk melaksanakan program gelembung perjalanan bermula 1 September ini.
“Kerajaan negeri optimis dapat kembali membuka sektor pelancongan di pulau itu bagi menghidupkan semula ekonomi penduduk tempatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, program vaksinasi kepada guru menjadi agenda utama kerajaan negeri dan sedang diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.
“Di bawah Misi Pembangunan Insan pula, kerajaan negeri akan melaksanakan program ‘Vaksin Rohani’ menerusi platform maya yang akan disiarkan secara berkala. Program ini bertujuan mendidik masyarakat dalam mendepani cabaran kehidupan sepanjang tempoh pandemik.
“Selain itu, kerajaan negeri turut meluluskan bantuan makanan barang basah kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Nilam serta Bukit Malut di Langkawi dengan jumlah keseluruhan RM60,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE