Kabinet baharu: Yang beza ialah ‘Pak Wan’ digugurkan - Utusan Malaysia

Kabinet baharu: Yang beza ialah ‘Pak Wan’ digugurkan

MOHD. Redzuan Md. Yusof hadir pada lawatan ziarah kasih di Taman Kebaya, Paya Datuk, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih diberikan posisi sewajarnya dalam keanggotaan Kabinet baharu ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ kerana jumlah pemimpinnya yang dilantik adalah sama seperti era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menegaskan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, apa yang berbeza hanyalah pengguguran dirinya daripada portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), diganti oleh Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Beliau bagaimanapun mengakui, tidak terkilan dengan pengumuman Perdana Menteri semalam, sebaliknya yakin Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan berfungsi dengan baik.

“Kalau kita lihat serupa juga dengan komentar orang lain cuma perubahannya Pak Wan digugurkan, itu sahaja. Sama sahaja barisan Kabinet akan berfungsi dengan lebih baik dan kita sama-samalah membantu mereka.

“Saya tidak terkilan tidak dilantik semula. Ini semua adalah pergerakan politik, lantikan-lantikan adalah daripada susunan politik. Menggunakan apa sahaja kepakaran yang ada daripada ahli-ahli politik.

“Apa pun Pak Wan hari ini masih lagi mahu secara peribadi akan terus berusaha menyokong kerajaan untuk merealisasikan apa yang sudah kita mulakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di Taman Kebaya, Alor Gajah, di sini hari ini.

Selain Mohd. Redzuan, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut digugurkan daripada senarai Jemaah Menteri.

Jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi diisi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula ialah Senator Idris Ahmad.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, beliau sedikit terkilan kerana tidak berpeluang menyempurnakan beberapa program dirangkanya sebelum ini.

“Saya terkilan dari sudut melestarikan langkah yang sudah kita susun dan saya harap mereka akan sambung dan pegawai kerajaan mengangkatnya kepada menteri yang menggantikan saya. Kerana kalau kita hendak buat yang baru tidak sempat.

“Saya ucapkan tahniah kepada jemaah Kabinet yang ada perubahan sedikit dan kita akan berikan kerjasama atas semangat dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN