Kabinet baharu perlu terima kritikan, libatkan semua pihak - Presiden Pas - Utusan Malaysia

Kabinet baharu perlu terima kritikan, libatkan semua pihak – Presiden Pas

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan harapannya kepada Kabinet baharu supaya bersikap lebih terbuka dan telus dalam mentadbir negara.

Dalam catatan Minda Presiden, Abdul Hadi berkata, harapan itu dizahirkan supaya segala tumpuan diberikan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat ketika ini.

“Kerajaan hendaklah mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina daripada semua pihak dengan melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

“Barisan Kabinet baharu juga perlu bersikap menerima penyertaan semua pihak bagi melibatkan diri dan memainkan peranan. Termasuklah penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak pembangkang yang akan lebih membantu kecepatan proses untuk mencapai kejayaannya, insya-Allah,” katanya.

Beliau juga meminta pembangkang supaya menjadi pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengganas. Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama, dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga.

“Hal ini disebabkan mereka yang menjadi mangsa wabak pandemik tidak mengenal, sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, termasuklah kalangan yang membisu di atas pagar,” katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun mempertahankan barisan anggota Kabinet baharu yang mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri hari ini.

“Walaupun Kabinet baharu kerajaan ini dikatakan sebagai Kabinet kitar semula, sebenarnya ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama.

“Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap. Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya. Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu.

“Sekiranya ada atap yang terjejas kerana diganggu oleh perompak, maka perabotnya perlu diubah kedudukannya supaya lebih selesa dan selamat, sementara menutup atap yang bocor,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan pertukaran Perdana Menteri boleh berlaku tanpa memecahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ia sangatlah berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mampu menukar Perdana Menteri tetapi terus retak lalu berpecah. Oleh itu, Kabinet yang baharu dilakukan perubahan boleh meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya.

“Tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima juga kerana belum lagi menjadi sesal kemudian tidak berguna lagi. Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik.

“Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik. Satu keadaan yang sangat positif kepada Kabinet baharu dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN