KUALA LUMPUR: Ratu papan anjal negara, Nur Dhabitah Sabri meluahkan kebimbangan terhadap kekurangan penerjun wanita berpengalaman yang disifatkannya sebagai situasi agak membimbangkan buat masa depan sukan terjun negara.
Penerjun berusia 26 tahun itu, yang kembali beraksi selepas lebih setahun berehat pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Bukit Jalil minggu lalu berkata, ketiadaan muka baharu terutama dalam acara papan anjal 3 meter (m) wanita semakin ketara.
“Keadaan ini agak membimbangkan, bukan sahaja dalam acara 3m papan anjal tetapi keseluruhan skuad wanita. Sekarang ini pun tak ramai yang tinggal, malah kita boleh lihat Lee Yiat Qing terpaksa bertanding dalam dua acara.
“Saya pernah lalui situasi sama sebelum ini. Memang sangat mencabar dan memerlukan tenaga besar,” kata Dhabitah ketika ditemui pemberita di sini, kelmarin.
Dhabitah mengakui barisan penerjun wanita negara semakin mengecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan tanggungjawab besar digalas oleh dirinya dan atlet muda seperti Yiat Qing.
Katanya, kemunculan pelapis baharu amat penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi kuasa utama di peringkat rantau.
“Saya pun bukan muda lagi, jadi harapan saya ialah akan ada penerjun muda yang berani tampil ke depan dan ambil alih tempat kami suatu hari nanti,” katanya.
Pada kejohanan tersebut, Dhabitah menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara 3m papan anjal individu sebelum bangkit cemerlang sehari kemudian untuk merangkul emas dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Ong Ker Ying. – UTUSAN










