MSN tunggu lampu hijau Dhabitah

MSN tunggu lampu hijau Dhabitah

Nur Dhabitah Sabri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) hanya menanti lampu hijau daripada ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri untuk kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sedia memberikan apa sahaja bentuk bantuan termasuk sokongan psikologi sekiranya diperlukan atlet berusia 26 tahun itu.

“Setakat ini, beliau menghubungi pihak kita untuk kembali berlatih dan kita masih menunggu sehingga beliau bersedia.

“Dari segi aspek sokongan, memang pasukan terjun yang diketuai Pengarah Teknikal, Yeoh Ken Nee sentiasa berhubung dengan beliau untuk mendapatkan maklum balas,” kata Jefri.

Spekulasi mengenai kehilangannya dari arena terjun mula timbul apabila Dhabitah tidak menyertai sebarang kejohanan sejak menamatkan kempen di Terbuka Malaysia pada November lalu, selain tidak hadir ke ujian pemilihan kebangsaan pada Mei.

Desas-desus mengatakan ratu papan anjal itu berdepan isu kesihatan awal tahun ini, sekali gus menjelaskan tindakannya untuk menggantung seketika aktiviti kompetitif sepanjang musim 2025.

Bagaimanapun, Ken Nee sebelum ini memaklumkan bahawa Dhabitah dijangka kembali menjalani latihan hujung Julai ini walaupun tiada penerjun wanita lain berjaya melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) bagi acara 3m papan anjal untuk ke Kejohanan Dunia di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos.

MQS merupakan penanda aras utama dalam menentukan kelayakan atlet ke kejohanan antarabangsa, yang mana setiap penerjun diberi peluang untuk mencapai standard itu dalam tiga kejohanan setahun, namun perlu melepasi sekurang-kurangnya dua daripadanya.

Sementara itu, Jefri mengesahkan Dhabitah telah menghubungi pihak MSN minggu lalu bagi menyatakan kesediaan menyertai semula program latihan, sekali gus memberi sinar baharu kepada skuad terjun wanita negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN