Tekanan KPI tidak gugat fokus Dhabitah

Tekanan KPI tidak gugat fokus Dhabitah

Nur Dhabitah Sabri - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi diri berbanding memikirkan tekanan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjelang Sukan Asia 2026.

Pendekatan itu diambil meskipun Akuatik Malaysia (MAS) sebelum ini memberi bayangan akan menilai semula kontrak penerjun senior berdasarkan pencapaian semasa.

Bagi Dhabitah, perkara tersebut bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan kerana fokus utamanya ketika ini adalah kepada proses latihan dan pemulihan.

Menurutnya, program latihan berjalan lancar mengikut perancangan jurulatih dan berada di landasan tepat untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Kalau KPI itu memang biasa, semua benda ada KPI tetapi saya tidak mahu terlalu fokus kepada perkara itu.

“Saya lebih fokus kepada diri sendiri, pemulihan dan program latihan untuk pastikan prestasi saya berada pada tahap terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas peluang ke kejohanan antarabangsa, Dhabitah menjelaskan, pemilihan bergantung kepada pencapaian Skor Kelayakan Minimum (MQS) yang ditetapkan.

“Kita ikut markah MQS. Kalau capai, harapnya Malaysia akan hantar nama untuk kami bertanding di sana. Setakat ini belum dapat apa-apa maklumat lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Dhabitah berehat hampir 8 bulan selepas Terbuka Malaysia 2024 pada November akibat masalah peribadi yang menyaksikan beliau terlepas semua kejohanan pada musim 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN