Skuad terjun cari sentuhan Bryan

Skuad terjun cari sentuhan Bryan

Bryan Nickson Lomas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara bakal berguru di Korea Selatan bermula 23 November ini bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, dengan bekas pengarah teknikal kebangsaan, Bryan Nickson Lomas bakal menjadi rujukan utama.

Pengarah teknikal terjun negara, Yeoh Ken Nee berkata, kem latihan selama dua minggu itu hanya membabitkan barisan penerjun yang disenaraikan ke Sukan SEA bagi memberi tumpuan terhadap aspek teknikal dan keserasian.

Katanya, Korea Selatan dipilih sebagai lokasi kali ini bagi memberi suasana latihan berbeza selepas sebelum ini kem negara lebih banyak dijalankan di China.

“Selama ini kita sering ke China untuk kem latihan, namun kali ini kami mahu suasana baharu dan sebab itu kami pilih Korea.

“Bryan kini melatih skuad Korea Selatan dan kita mahu menilai kemudahan latihan di sana selain berkongsi kepakaran dengan pasukannya,” kata Ken Nee.

Katanya, peluang berlatih di bawah pemantauan langsung Bryan juga memberi nilai tambah besar kerana beliau amat memahami pendekatan serta kekuatan penerjun negara.

Mengulas prestasi semasa, Ken Nee berpuas hati dengan pencapaian di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia baru-baru ini yang disifatkan sebagai penanda aras penting menjelang temasya di Bangkok.

“Secara keseluruhan, semua penerjun menunjukkan peningkatan positif dan masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dalam aspek teknikal dan konsistensi,” jelasnya.

Malaysia akan menurunkan barisan terbaik diketuai oleh penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh dan Elvis Priestly Clement dalam acara 3m papan anjal individu, manakala Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim akan beraksi dalam acara 1m papan anjal.

Rui Jie turut digandingkan dengan Nurqayyum dalam acara 3m seirama lelaki, sementara pasangan muda Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi akan mengetuai cabaran wanita dalam acara 10m seirama platform. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN