UKM-GSB di tangga ke-23 Asia, 151–200 dunia MBA

UKM-GSB di tangga ke-23 Asia, 151–200 dunia MBA

UKM-GSB
SUFIAN Jusoh bersama tenaga pengajar dan petugas UKM-GSB dalam Majlis Sambutan Kecemerlangan UKM dalam Penarafan QS Global MBA Rankings 2026M, di Bangi, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) pertama kali tersenarai dalam QS Global Master of Business Administration (MBA) Rankings 2026, pada kedudukan kedua terbaik di Malaysia, ke-23 di Asia dan dalam kelompok 151 hingga 200 terbaik dunia.

Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, kedudukan itu membuktikan keupayaan UKM-GSB bersaing dengan sekolah perniagaan terkemuka dunia meskipun baru ditubuhkan pada tahun 2007.

Beliau berkata, kejayaan tersebut turut disokong oleh kekuatan kesarjanaan tenaga akademik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dua pensyarah UKM-GSB, Prof. Dr. Mohd Helmi Ali dan Prof. Madya Dr. Abdullah Mamun diiktiraf dalam senarai dua peratus saintis terbaik dunia oleh Elsevier tahun 2025.

“Pengiktirafan ini mencerminkan tahap kecemerlangan penyelidikan dan akademik yang dimiliki fakulti,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Kecemerlangan UKM dalam Penarafan QS Global MBA Rankings 2026, semalam.

Jelas Sufian, UKM-GSB kini giat memperkukuh jaringan global melalui kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi luar negara yang memiliki akreditasi antarabangsa.

“Kita akan ke Amerika Syarikat dan Eropah hujung bulan ini bagi memperluas kerjasama dengan sekolah-sekolah perniagaan ternama dan menarik lebih ramai pensyarah berpengalaman dari luar negara bagi memperkukuh kualiti pengajaran di UKM-GSB.

“Kita sedang memperluas pengambilan daripada Timur Tengah dan Asia Selatan seperti Bangladesh serta India. Dengan penubuhan UKM Qatar yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi, kita yakin UKM-GSB mampu mengembangkan sayap ke rantau Timur Tengah,” katanya.

Menurutnya, UKM-GSB turut mengadaptasi kurikulum Microeconomics for Competitiveness daripada Harvard Business School, menjadikannya satu-satunya universiti di Malaysia yang menggunakan modul tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN