PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu menyaksikan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku berkumandang di bumi Tokyo hasil kejayaan kesemua atlet yang menyertai Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Beliau pada masa sama berharap sasaran tiga pingat emas dapat dicapai daripada 22 atlet yang menyertai sembilan jenis sukan pada temasya sukan berprestij berkenaan.
Perdana Menteri berkesempatan memberi kata-kata semangat kepada kontinjen negara itu ketika berinteraksi dalam sidang video bersama Chef de Mission Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Sri Megat Shahriman Zaharuddin yang turut disertai Senator Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi.
“Kalau boleh saya mahu lebih banyak kali lagi lagu Negaraku dan bendera Jalur Gemilang berkibar di sana. Anda semua kebanggaan Malaysia. Kita keluarga Malaysia dan anda semua mewakili keluarga Malaysia untuk menaikkan nama Keluarga Malaysia di Tokyo.
“Harapan saya semua berjaya dan nama Malaysia dijulang oleh anda semua,” katanya.
Atlet Malaysia ke Paralimpik Tokyo 2020 bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.
Kontinjen negara turut diingatkan supaya sentiasa menjaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 yang ditetapkan pihak penganjur bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin.