PETALING JAYA: Hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk kembali menyerlah musim ini menerima tamparan hebat apabila disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligamen (ACL).
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain berusia 25 tahun itu akan menjalani pembedahan selepas keputusan imbasan MRI menunjukkan koyakan ACL yang dialaminya ketika aksi pusingan pertama Malaysia Masters 2025 menentang pemain Hong Kong, Angus Ng, bulan lalu.
Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata Tze Yong berhadapan detiknya yang sukar, namun beliau optimis pemain kelahiran Muar, Johor itu sangat kuat dari segi mental menuju proses pemulihannya.
“Ini saat sukar untuk Tze Yong, tetapi dia cukup kuat dari segi mental dan fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan.
“Pasukan perubatan dan kejurulatihan kami akan terus memberi sokongan penuh kepadanya, sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang,” kata Jonassen dalam kenyataan BAM, semalam.
Tze Yong sebelum ini terpaksa menarik diri ketika perlawanan berlangsung akibat kesakitan pada lutut dan kini sedang menjalani rawatan awal (prehab) untuk menguatkan otot sebelum menjalani pembedahan.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu bagaimanapun kekal positif dan berazam untuk pulih sepenuhnya bagi kembali beraksi di pentas antarabangsa.
“Memang sukar untuk terima, lebih-lebih lagi selepas segala kerja keras yang saya lalui, tetapi saya anggap ini sebagai satu lagi cabaran untuk diatasi.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada BAM, ISN (Institut Sukan Negara) dan semua yang terlibat dalam pasukan perubatan dan kejurulatihan serta para peminat atas sokongan dan mesej semangat yang amat saya hargai,” kata Tze Yong. – UTUSAN










