Konflik Trump, Musk: Dulu puji, kini saling mengutuk

Konflik Trump, Musk: Dulu puji, kini saling mengutuk

TANGKAP layar pertelagahan Trump dengan Musk dalam platform media sosial. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Ame­rika Syarikat (AS) Donald Trump mengugut menamatkan kontrak kerajaan dengan syarikat-syarikat milik jutawan Elon Musk manakala Musk pula mencadangkan Trump dipecat daripada jawatan presiden, sekali gus menukar hubungan akrab mereka sebelum ini menjadi pertelagahan terbuka.

Ketegangan mula tercetus apabila Trump mengkritik Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu di Pejabat Oval.

Dalam tempoh beberapa jam, hubungan mereka yang dahulunya rapat berantakan sepenuhnya di khalayak umum apabila kedua-dua figura terkenal dunia itu saling membalas kenyataan pedas di platform Truth Social milik Trump dan X milik Musk.

“Cara paling mudah untuk menjimatkan perbelanjaan dalam Belanjawan berbilion-bilion dolar adalah dengan menamatkan subsidi dan kontrak kerajaan kepada Elon,” tulis Trump di Truth Social.

Pasaran saham bertindak balas pantas apabila saham Tesla menjunam 14.3 peratus pada hari yang sama, menyusut kira-kira AS$150 bilion (RM634 bilion) dalam nilai pasaran. Ini merupakan kejatuhan nilai harian terbesar dalam sejarah syarikat kenderaan elektrik tersebut.

Tidak lama selepas itu, Musk membalas ringkas dengan ‘Ya’ terhadap satu hantaran di X yang menyeru Trump dipecat daripada jawatan presiden.

Bagaimanapun, majoriti di kedua-dua dewan Kongres kini dikuasai oleh Republikan menjadikan pemecatan Trump secara politik hampir mustahil.

Permusuhan ini mula memuncak sejak Selasa lalu apabila Musk secara terbuka menentang rang undang-undang pemotongan cukai dan perbelanjaan besar-besaran yang dicadangkan Trump.

Presiden pada mulanya enggan memberi komen, sementara Musk giat berkempen menentang rang undang-undang tersebut yang menurutnya akan menambah beban kepada hutang negara yang kini mencecah AS$36.2 trilion (RM153 trilion).

Trump akhirnya bersuara pada Khamis menyatakan kepada wartawan yang beliau sangat kecewa dengan Musk.

“Lihat, saya dan Elon pernah ada hubungan yang baik. Saya tak pasti jika itu masih kekal,” kata Trump.

Sementara Trump memberi kenyataan kepada media, Musk pula membalas secara langsung di X dengan hantaran yang semakin sinis.

“Tanpa saya, Trump pasti kalah pilihan raya. Begitu tidak mengenang budi,” tulis Musk yang membelanjakan hampir AS$300 juta (RM1.27 bilion) untuk menyokong Trump dan calon Republikan lain dalam pilihan raya tahun lalu.

Dalam satu lagi hantaran, Musk menyatakan tarif perdagangan yang menjadi dasar utama Trump boleh menyebabkan AS berdepan kemelesetan ekonomi hujung tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN