Setiap orang menantikan Aidiladha dengan perasaan berbeza.
Ada yang teruja mahu pulang berhari raya di kampung halaman, menikmati juadah enak dan tidak kurang juga berharap agar hubungan renggang kembali terjalin.
Kehadiran Aidiladha tahun ini membawa harapan besar kepada Medina, (bukan nama sebenar) seorang isteri yang selama ini memendam dilema antara suami dan adik-adiknya.
Dalam kiriman e-mel baru-baru ini, Medina menulis mahu menyatukan insan disayangi yang sedang bertelingkah.
“Walaupun terpaksa mengorbankan perasaan sendiri, demi menyatukan suami dan adik-adik, saya sanggup melakukan apa sahaja.
“Kalau saya memilih untuk menjaga hati sendiri, mereka mungkin tidak akan berbaik kembali,’’ tulisnya.
Dalam tulisannya, Medina berkongsi, apabila dia berkahwin dengan Zainal (bukan nama sebenar) pada pertengahan Januari 2019, statusnya berubah.
Jika dahulu, bertanggungjawab kepada kedua ibu bapa dan menjadi kakak, kini keutamaannya kepada suami dan keluarga yang perlu dibina bersama.
“Perubahan itu bukan bermakna saya perlu membuang keluarga, tetapi belajar menyeimbangkan cinta dan tanggungjawab.
“Keseimbangan itu penting bagi memastikan keluarga tidak disisih dan suami rasa dihormati,” tulisnya.
Medina tidak berniat membuka aib sesiapa, apatah lagi insan tersayang, tetapi ia lebih sebagai iktibar.
“Saya bercerita bukan mahu memburukkan suami dan darah daging sendiri, sebaliknya untuk memberi pengajaran.
“Mungkin apa yang pernah saya lalui ini, sedang dihadapi ramai isteri di luar sana,” tulisnya.
Dia tidak pernah menyangka setelah berkahwin, dilema paling berat yang ditanggung adalah antara suami dan adik-beradik.
Suami beranggapan dia terlalu mengikut adik-adik dan memintanya bertegas.
Di pihak adik-beradik pula, mereka beranggapan dia sudah berubah sejak berkahwin.
Sejujurnya, Medina terperangkap antara dua insan disayangi.
“Saya dicemuh adik-beradik kerana melebihkan suami. Kalau saya membela adik-adik pula, setiap hari disindir suami,’’ tulisnya.
Sejak suami meminta dia bertegas dan jangan terlalu mengikut kehendak keluarga, adik-adik mula menjauhkan diri.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Medina memikul tanggungjawab besar sejak ibu mereka meninggal dunia pada 2015.
“Saya menjadi rujukan dan tempat adik-adik mengadu. Mereka amat bergantung kepada saya dalam banyak hal sama ada kewangan hingga keputusan penting berkaitan keluarga,” ujarnya.
Di awal perkahwinan, hubungan suami dengan adik-adiknya baik-baik sahaja.
Zainal seorang abang ipar yang penyayang, prihatin dan bertanggungjawab.
Sepanjang enam bulan berkahwin, suaminya cuba memahami, menyantuni dan menghormati mereka.
Malah, Medina tidak pernah dihalang untuk terus rapat dan membantu adik-adiknya yang bersekolah menengah serta menuntut di universiti.
Adik-adiknya pun menghormati Zainal, bukan sahaja sebagai suami kakak mereka, tetapi juga abang sulung.
Bercerita lanjut, kata Medina, sebelum itu suami pernah menegur sikap adik-adiknya.
“Awalnya, saya anggap biasa dan sebagai tanda keprihatinannya. Namun, apabila suami berani campur tangan, menegur macam-macam dan terlibat dalam banyak keputusan keluarga, lama-kelamaan saya mula perasan adik-adik menjauhkan diri,’’ tulisnya.
Adik-adik mendakwa abang ipar terlalu mengongkong mereka.
Ujarnya, suami dikatakan sudah pandai memberi arahan, bukan pandangan atau nasihat seperti sebelumnya.
“Ini termasuk menentukan siapa jodoh mereka. Apabila ada lelaki datang meminang, suami akan menyiasat latar belakang dan apabila adik-adiknya mula kenal seseorang, suami akan bertanya berkali-kali,’’ tulisnya.
Menurut Medina, tindakan adik-adiknya menjauhkan diri bukan kerana benci tetapi tersinggung dengan abang ipar.
Kemuncak kepada konflik antara suami dan adik-beradiknya adalah semasa sambutan hari raya Aidilfitri lalu.
Suasana raya yang sepatutnya meriah menjadi tegang, selepas adik lelakinya, Munir (bukan nama sebenar) meluahkan tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap Zainal.
“Kata-kata Munir menyentak hati saya. Belum sempat bersuara, suami pula menyampuk.
“Keadaan menjadi tegang apabila sesama mereka bertikam lidah,’’ tulisnya.
Selepas kejadian itu, Medina berusaha untuk menjernihkan kembali hubungan suami dan adik-adiknya.
Dia tahu suaminya bukan sengaja mahu mengatur urusan adik-adiknya. Bukan juga mahu mengongkong atau menunjukkan kuasa.
Suaminya campur tangan kerana sayangkan adik-adik ipar seperti darah daging sendiri.
Sebagai isteri, sebolehnya dia mahu menyeimbangkan tanggungjawab terhadap suami dan adik-adiknya.
Dia hanya mahu menjadi isteri yang taat kepada suami dan kakak bertanggungjawab.
“Saya tahu suami terluka dengan sikap adik-adik.
“Saya juga tahu adik-adik kecewa dengan sikap abang ipar yang terlalu mencampuri urusan.
“Tetapi saya percaya, doa dan usaha untuk menyatukan mereka selama ini pasti tidak akan sia-sia,’’ tulisnya.
Sepanjang tempoh hubungan suami dan adik-adiknya keruh, Medina merancang banyak perkara-perkara kecil termasuk mengadakan jamuan makan dan trip percutian keluarga.
“Ada masa adik-adik menolak pelawaan, ada masa suami pula memberi pelbagai alasan.
“Saya sanggup berkorban apa sahaja termasuk hati dan perasaan ini demi insan-insan disayangi,” ujarnya.
Dalam e-melnya lagi, Medina berharap kehadiran Aidiladha kali ini dapat menyatukan kembali suami dan adik-adiknya.
Dalam Islam terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan pentingnya pengorbanan seorang isteri kepada suami dan keluarga.
Pengorbanan ini termasuk ketaatan, menjaga rumah tangga dan memberi kasih sayang.
Sebagaimana Allah SWT berfirman: “Perempuan-perempuan soleh adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada kerana Allah telah menjaga (mereka),” (An-Nisa:34).










