Johor perlu tangguh Sidang DUN, kes Covid-19 meningkat - Utusan Malaysia

Johor perlu tangguh Sidang DUN, kes Covid-19 meningkat

CHE Zakaria Mohd. Salleh (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada ahli Persatuan Anak-anak Perantau Johor di Pasar Muafakat Sabah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh mahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan pada 12 Ogos ini ditangguhkan buat sementara waktu.

Beliau berkata, penangguhan itu perlu dibuat memandangkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 harian yang direkodkan di Johor sejak kebelakangan ini.

“Penangguhan sementara sidang DUN adalah langkah terbaik bagi mengelak berlakunya peningkatan kes termasuk mengelak tercetusnya kluster baharu.

“Tambahan pula Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat merasmikan sidang DUN Johor dan ini dibimbangi akan membahayakan baginda dan semua yang terlibat,” katanya selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 78 ahli Persatuan Anak-anak Perantau Johor di Pasar Muafakat Sabah hari ini.

Jumlah kes positif Covid-19 di Johor hari ini merekodkan sejumlah 1,222 kes baharu berbanding semalam yang mencatatkan 1,045 kes baharu.

Sementara itu, Che Zakaria turut mengecam penganjuran himpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu kerana dilakukan dalam keadaan tidak sesuai selain hanya membuang masa.

Beliau juga menyatakan kekesalan kerana peserta telah diperalat pihak berkepentingan sehingga membahayakan nyawa apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam melawan pandemik Covid-19.

“Apa yang kita dapat dengan melakukan demonstrasi seperti ini, harapan kita agar anak muda jangan terpengaruh dengan mana-mana pihak untuk mengadakan demonstrasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan berlaku krisis Perlembagaan seperti yang didakwa pembangkang semata-mata kerana pembatalan Ordinan Darurat diumumkan di Parlimen baru-baru ini.

“Tidak timbul soal tidak hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana proses itu sedang berjalan mengikut peraturan. Pengumuman menteri sekadar memaklumkan pendirian dan keputusan terkini Kabinet tanpa memperincikan proses itu yang sebenarnya masih menunggu perkenan Seri Paduka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya