PETALING JAYA: Jenazah anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam insiden tembakan di Kem Skuadron 330 TUDM Kuching di Kota Samarahan selamat tiba di rumah kediaman keluarganya di Kampung Siniawan Lot, di sini, kira-kira pukul 1 pagi tadi untuk urusan pengebumian.
Jenazah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, itu dibawa keluar dari rumah mayat pada pukul12.15 pagi dan meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak menggunakan van jenazah TUDM pada pukul 12.30 pagi.
Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Siniawan kira-kira pada pukul 9 pagi ini.
Dalam insiden pada pukul 7.15 pagi 13 Ogos lalu di Balai Pengawal Handau SSN 330 TUDM Kota Samarahan, Allahyarham merupakan mangsa yang pertama ditembak dan mengalami cedera parah.
Selepas ditembak allahyarham sempat memandu kenderaan sendiri untuk mendapat rawatan segera di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT)d alam kem tersebut.
Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Kota Samarahan, sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Allahyarham merupakan anak kedua daripada tujuh adik-beradik dan meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.
Allahyarham telah berkhidmat dengan TUDM selama kira-kira 12 tahun dan sebelum ini pernah bertugas di Kem Kepala Batas, Kedah, sebelum dipindahkah di TUDM Kota Samarahan lebih dua tahun lalu.