PETALING JAYA: Bekas Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menyifatkan tempoh 18 bulan yang lalu adalah amanah yang perlu digunakan sebaiknya untuk melakukan penambahbaikan kepada ekosistem pendidikan negara.
Radzi berkata, sejujurnya menguruskan Kementerian Pendidikan dalam waktu pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah.
Katanya, tidak ada sesiapa di antara petugas di kementerian atau di luar sana pernah melaluinya dan kerana itu pihaknya amat teliti dalam membuat sebarang perancangan serta setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Semalam merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Kementerian Pendidikan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan kepada saya mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara. Thank you very much, Sir!
“Dari hari pertama menjejakkan di kementerian, saya telah menyatakan kepada warga kementerian bahawa saya adalah seorang pekerja seperti mana mereka (kerana) yang membezakan kita cuma nama kerja saya iaitu, Menteri.
“Saya berada di kementerian bukan untuk menjadi popular, tetapi untuk saya melakukan perkara yang betul mengambil kira data dan maklumat yang ada serta analisis yang dibuat,” katanya dalam dalam satu hantaran Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan semalam sekali gus menyebabkan Kabinet kerajaannya turut terbubar.
Menurut Radzi, secara peribadi beliau merasakan bahawa setiap detiknya di Kementerian Pendidikan dalam tempoh 18 bulan yang lalu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara.
Katanya, banyak perkara tunjang di kementerian yang berlarutan bertahun-tahun lamanya dapat diselesaikan dan sebahagiannya sedang diselesaikan.
“Prinsip saya mudah. Jika niat kita ikhlas dan kita ikhtiarkan sebaiknya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, insya-Allah sesukar mana sekalipun penyelesaiannya, Allah akan membuka jalan untuk kita.
“Ada yang dicapai dalam masa yang singkat dan ada yang mungkin memerlukan masa yang lebih panjang. Sekiranya apa yang diikhtiar dengan terbaiknya itu tidak berjaya seperti yang dihasratkan, tentu ada hikmah disebaliknya. Apa pun, saya selalu berpesan kepada warga kementerian, nothing beats hard work!,” katanya.
Tambah beliau, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan selain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan.
“Insya-Allah, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.
“Kepada dua pendukung utama saya di kementerian, Ketua Setiausaha, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datin Sri Nor Zamani, terima kasih atas jasa baik dan usaha gigih kalian.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan kementerian, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang bertungkus-lumus untuk memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik.
“Sebagai panglima perang di waktu krisis, mungkin ada yang tersinggung dengan tindakan atau ketegasan saya. Maafkanlah saya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berterima kasih kepada guru-guru di atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini.
Katanya, semua dalam kalangan itu tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi pihaknya sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik.
“Masing-masing juga berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat, tidak kira sama ada secara bersemuka atau dalam talian. Apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan.
“Akhir kalam, saya menginsafi bahawa saya cuma dipinjamkan oleh Allah untuk mengemudi Kementerian Pendidikan dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini.
“Saya anak kampung yang merantau ke luar negara hampir 20 tahun dan kembali ke tanah air dengan niat semata-mata untuk menabur bakti kepada ibu pertiwi,” katanya.
Katanya, amanah mengemudi Kementerian Pendidikan sudah dilakukan dengan seikhlas hati tanpa sekelumit niat lain selain daripada melihat kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang jauh lebih tinggi.
“Kini, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat, negara hampir keluar dari kemelut pandemik Covid-19. Tempoh persinggahan yang dizinkan Allah di kementerian ini akhirnya tamat semalam.
“Kepada ibu bapa, sesungguhnya saya telah ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak kalian dalam tempoh yang penuh cabaran ini. Kepada guru, saya tidak pandai beretorik. Tapi yakinlah dan tanyalah rakan-rakan di Kementerian, saya telah usahakan yang terbaik untuk kalian dalam tempoh yang amat sukar ini. Kepada anak-anak, pak cik doakan yang terbaik buat semua. Jangan lupa doakan pak cik!,” katanya.










