PUTRAJAYA: Kali terakhir Ahli Parlimen Jelebu mempunyai wakil dalam Kabinet Persekutuan ialah pada 2013 apabila kerusi tersebut diwakili oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menduduki kerusi tersebut daripada penyandangnya, Datuk Yunus Rahmat yang ‘pindah’ sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.
Bagaimanapun bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu tidak bertanding kerusi itu pada 2013 apabila diganti Datuk Zainuddin Ismail yang kemudian meninggal dunia pada 2017.
Kekosongan itu menyaksikan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengisi kerusi tersebut pada 2018.
Hari ini, Pengerusi UDA Holdings Berhad itu ibarat patah tumbuh hilang berganti, dilantik selaku Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Anak jati Jelebu yang kini berusia 57 tahun itu membuktikan pengalaman dirinya sebagai ADUN Klawang dan Pertang selain Exco kerajaan negeri, mampu berbakti kepada tanah air.
Jalaluddin menerusi kenyataan hari ini, dalam nada syukur, menyifatkan tanggungjawab baharu diberikan Perdana Menteri kesembilan itu seumpama cabaran besar untuk digalas.
“Saya ambil pesanan bahawa perlu budaya berprestasi tinggi, bekerja bersama rakyat dalam memulihkan negara dengan dukungan penjawat awam dan Keluarga Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan warga Jelebu yang memberikan sokongan penuh kepada dirinya.
Beliau bakal menggantikan tempat Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar Ramanaidu yang bertukar portfolio baharu sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
“Kepada Allah, saya berserah. Justeru, tolong doakanlah saya. Khidmat saya kelak juga demi negara. Insya-Allah, kita semua akan gerak bersama,” jelas Jalaluddin melalui kenyataan.
Pelantikan beliau turut melakar sejarah apabila Negeri Sembilan kini ada dua timbalan menteri selain Eddin Syazlee Shith sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Ahli Parlimen Kuala Pilah itu pada era Pakatan Harapan dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Timbalan Menteri Kerja Raya ketika era Perikatan Nasional.
Sementara Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula bertukar portfolio dengan mengisi jawatan Menteri Kesihatan bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Sebelum itu, beliau merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta pernah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran Barisan Nasional dari 2013 hingga 2018.










